PETROLIAM NASIONAL BERHAD (PETRONAS) sah menyertai keluarga Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) secara rasmi sebagai Penaja Utama LTdL untuk tempoh tiga tahun bermula dengan perlumbaan edisi ke-24 tahun ini yang akan berlangsung dari 6 hingga 13 April.
Syarikat minyak dan gas multinasional itu diumumkan sebagai Penaja Utama eksklusif bagi acara perlumbaan jelajah antarabangsa itu pada satu majlis penajaan yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Langkawi, hari ini.
Pembabitan PETRONAS sebagai Penaja Utama eksklusif LTdL akan berlanjutan dari 2019 hingga tahun 2021.
Perlumbaan lapan peringkat yang meliputi jarak keseluruhan 1,234.4km dan menyusuri laluan di sembilan negeri di Pantai Barat Semenanjung, akan bermula secara rasmi di perkarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) Kuala Lumpur pada 6 April. Jelajah akan berakhir dengan dua peringkat perlumbaan di tempat lahir acara itu di Langkawi pada 12 dan 13 April.
PETRONAS, yang merupakan antara rakan penaja tradisi LTdL paling lama sejak 1997, banyak menyumbang kepada kejayaan LTdL menerusi penajaan dalam berbentuk tunai dan barangan. Penyertaan PETRONAS sebagai Penaja Utama LTdL 2019-2021 pastinya akan menyuntik semangat baru bukan saja buat penganjur, tetapi juga dapat membantu pembangunan sukan berbasikal di negara ini selain menjadi pengibar bendera negara di pentas antarabangsa yang kini melangkaui sukan pemotoran.
Penyertaan PETRONAS dalam perlumbaan jelajah ini juga amat penting dengan pengunaan bahan api untuk kenderaan pasukan, pelumba, pegawai, pihak media, cavalcade, skuad pengiring Polis DiRaja Malaysia dan keseluruhan konvoi berjalan lancar sepanjang tempoh lapan hari perlumbaan.
Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq merakam penghargaan tinggi kepada PETRONAS di atas kesediaan menjadi Penaja Utama ekslusif dan menekankan mengenai sumbangan besar syarikat itu dalam menjadikan LTdL begitu gah di peringkat antarabangsa.
Le Tour de Langkawi kini merupakan acara berkelas Hors 2.0 yang tetap dalam kalendar Jelajah Asia UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa). Selain menawarkan hadiah wang tunai, perlumbaan juga menawarkan mata kepada para pelumba untuk meningkatkan ranking UCI mereka.
“Terima kasih tidak terhingga kepada PETRONAS di atas tajaan ini yang diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan LTdL. Saya juga yakin LTdL, selain menyerlahkan keindahan dan tarikan di Langkawi, dapat membawa kesan limpahan kepada ekonomi tempatan,” kata YB Syed Saddiq.
“Kami percaya Le Tour de Langkawi berupaya menjadi platform terbaik bagi PETRONAS dan Malaysia untuk membina dan menonjolkan jenama selain daripada litar lumba dalam sukan pemotoran. Sebagai penaja utama untuk sepanjang tempoh tiga tahun ini, kami akan meneruskan usaha untuk mempromosi jenama kami di peringkat domestik dan antarabangsa,” kata Ketua Jabatan Pengurusan Jenama PETRONAS, Noor Afiza Mohd Yusof.
Perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak 1,234km itu bermula dengan kayuhan menyusuri laluan berbukit dan landai sejauh 176.9km dari perkarangan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur ke Dataran Tampin Negeri Sembilan.
Kayuhan ke Genting Highlands, yang kembali mewarnai saingan LTdL selepas empat tahun, berlangsung pada hari ke-4 dari Shah Alam. Langkawi pula menjadi hos mula dan penamat bagi dua peringkat terakhir pada 12 April di Pantai Cenang dan 13 April di Pekan Kuah.
Selari dengan tema PETRONAS LTdL 2019 “Sports Unites, Cycling Contributes”, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai di sepanjang laluan, venue pemula dan penamat bagi menyokong acara dan memberi semangat buat pelumba.
Sebanyak 22 pasukan dari kelompok Pasukan Jelajah Dunia, Pro-Benua, Benua dan Pasukan Kebangsaan akan beraksi pada perlumbaan yang dianjurkan oleh Human Voyage (M) Sdn Bhd.
Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari acara. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.
Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai si sepanjang laluan dan juga venue mula dan penamat.