Pemegang rekod terbanyak kemenangan peringkat Le Tour de Langkawi Andrea Guardini kembali memeriahkan kehangatan saingan jelajah berbasikal yang memasuki edisi ke 24 tahun ini bersama sama lima pelumba kelahiran Itali untuk pasukan Pro Benua, CSF Bardiani.
Guardini pastinya terus menjadi tumpuan bagi perebutan jersi Hijau selaku Raja Pecut bagi saingan LTdL yang dijadual bermula dari 6 hingga 13 April.
Pelumba kelahiran Tregnano berusia 29 tahun ini mendapat gelaran Mr Langkawi selepas melakar sejarah tersendiri dengan meraih lima kemenangan peringkat termasuk kedudukan teratas bagi saingan raja pecut meskipun membuat penampilan pertama pada 2011 di mana beliau beraksi untuk pasukan Farnese Vini ketika itu.
Sehingga kini, tiada pelumba yang mendominasi kategori Raja Pecut di perlumbaan berstatus 2.HC ini dan rekod yang dipegang membuktikan betapa mendalam minatnya terhadap sukan ini.
Sejak pertama kali beraksi secara profesional pada 2011, Guardini hanya terlepas edisi 2017 di mana beliau mewakili pasukan UAE Abu Dhabi yang tidak mengesahkan penyertaan untuk beraksi di LTdL.
Guardini berjaya meraih 42 kemenangan peringkat dan 24 daripadanya datang daripada saingab Le Tour de Langkawi.
Dalam misi membina pelumba pelumba dari Itali, Pengarah Bardiani CSF, Roberto Reverberi turut menurunkan Mirco Maestri untuk mengukuhkan lagi kedudukan Guardini ketika melakukan henjutan.
Meskipun mula berkayuh secara profesional pada 2015, Maestri yang berusia 27 tahun memulakan musim ini dengan cemerlang termasuk meraih mata ketika beraksi di Tirreno Adriatico sekaligus mengejutkan nama nama besar ketika itu.
Seorang lagi pelumba yang dijangka mencuri tumpuan adalah Alessandro Pessot yang dijangka menjadi salah satu tumpuan bagi saingan LTdL 2019.
Pessot akan membuat penampilan sulungnya di Langkawi dan pernah beraksi di perlumbaan antaranya Milan San Remo minggu lalu malah, berjaya memberi tentangan hebat ketika menyertai jelajah Vuelta Andalucia yang berlangsung bulan lalu.
Selain Guardini Pessot, CSF Bardiani turut diperkuatkan dengan kelibat Paolo Simon (26 tahun) dan dua pelumba muda, Michael Bresciani (24 tahun) dan Daniel Savini (21 tahun)
Le Tour de Langkawi yang melibatkan lapan peringkat perlumbaan baru baru ini mengumumkan syarikat petroleum negara, PETRONAS sebagai penaja utama buat pertama kali.
Peringkat pertama dijadual berlangsung dari Kuala Lumpur pada 6 April menuju ke Tampin, Negeri Sembilan.
Lapan peringkat perlumbaan tahun ini juga turut melibatkan pendakian getir atau Queen stages di Genting Highlands malah, Pulau Langkawi juga kembali dimasukkan ke dalam kalendar laluan.
22 pasukan teleh mengesahkan penyertaan bagi perlumbaan edisi tahun ini yang dianjurkan Human Voyage Sdn Bhd.
Senarai pelumba CSF Bardiani
Michael Bresciani (Ita), Andrea Guardini (Ita), Mirco Maestri (Ita), Alessandro Pessot (Ita), Daniel Savini (Ita), Paolo Simion (Ita).