Pelumba Sapura Cycling Team (TSC), Marcus Culey mempamer kayuhan kental dan meraih penghormatan besar apabila muncul pemenang Peringkat 1 edisi ke-24 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019 dari Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur ke Tampin, hari ini.
Dalam kayuhan sejauh 176 kilometer itu, pelumba kelahiran Australia berusia 25 tahun itu gigih menyertai kumpulan breakaway sebaik perlumbaan bermula, dan bersama-sama tiga pelumba lain menjarakkan diri di depan kumpulan besar pelumba.
Malah, dia bertahan sehingga ke garisan penamat dan berada hanya 5 saat di depan kumpulan besar yang cuba mengejarnya, untuk menamatkan perlumbaan dengan masa 4 jam 20 minit 40 saat, manakala Travis McCabe (Floyd’s Pro Cycling) di tempat kedua dan Clint Hendricks (ProTouch) di tempat ketiga.
Usaha keras Culey itu turut membolehkannya menyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan serta jersi hijau Raja Pecut di akhir peringkat pertama itu (21 mata), manakala pelumba Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons yang bersama Culey dalam kumpulan breakaway, mengumpul 26 mata keseluruhan di 4 zon pendakian untuk muncul pemenang jersi merah Raja Bukit.
Pelumba Vino-Astana, Grigoriy Shtein yang menduduki tempat ke-10 pada peringkat itu, menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia.
“Mengkagumkan,” kata Culey yang dilamar TSC dari pasukan St George untuk menghadapi kalendar perlumbaan musim ini, selain kemenangan peringkat pertama buat TSC dalam LTdL sejak ditubuhkan tiga tahun lalu.
“Saya mewakili sebuah pasukan dari Malaysia dan ini pastinya kemenangan yang penting untuk mereka memenangi jelajah besar anjuran mereka.
“Walaupun fokus pasukan adalah untuk membantu Ben (Benjamin Dyball) dalam perebutan individu keseluruhan, saya berjaya menyambar peluang yang ada hari ini,” kata Culey lagi.
Begitupun, Culey mengakui peringkat pertama itu cukup sukar dan dia hampir mengalah, terutama selepas mengharungi zon pendakian terakhir di Bukit Putus, lebih-lebih lagi apabila melihat jurang masa kumpulan besar semakin mengecil.
Menurutnya, dia akan cuba mempertahankan jersi kuning pendahulu itu selama mungkin, walaupun menyedari Peringkat 4 pendakian ke Genting Highlands terlalu sukar baginya.
Bagi Lyons pula, kehadiran dua pelumba Australia lain, selain pelumba Korea dari pasukan KSPO, Kwon Soonyeong, memudahkan kumpulan breakaway itu untuk bekerjasama dan menjarakkan diri, hingga suatu ketika berada kira-kira 9 minit di depan peloton.
“Kami tidak menghiraukan kumpulan besar, sebaliknya terus bekerjasama menjarakkan diri di depan.
“Tetapi saya akui peringkat hari ini sungguh sukar tetapi mungkin kumpulan besar juga menghadapi kesulitan kerana ada 4 zon pendakian yang sukar di sepanjang laluan.
“Saya tetap gembira dengan jersi Raja Bukit ini kerana sekurang-kurangnya pasukan kami dapat membuktikan sesuatu dalam LTdL ini, dan kami akan berusaha pula mengejar kemenangan peringkat selepas ini,” kata Lyons.
Peringkat 2 LTdL 2019 esok membabitkan kayuhan dari Senawang ke Melaka sejauh 200.6km, dengan 3 zon pendakian yang mudah dann 3 zon pecutan.
Selari dengan tema PETRONAS LTdL 2019 “Sports Unite, Cycling Contributes”, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai di sepanjang laluan, venue pemula dan penamat bagi menyokong acara dan memberi semangat buat pelumba.
Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari acara. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.
Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai si sepanjang laluan dan juga venue mula dan penamat.