Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjemput 50 pesakit kanser dari Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor untuk menghadiri perlawanan amal ‘JDT All-Stars Friendly’ di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 30 Jun 2019.
Perlawanan Amal ‘JDT All-Stars Friendly’ ini yang menyaksikan nama-nama legenda dalam bola sepak seperti Rivaldo, Bebeto, Claudio Caniggia, Robert Pires, Claude Makelele, Edgar Davids dan ramai lagi memeriahkan Larkin adalah hasil cetusan idea DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Semua kutipan dari perlawanan amal ini akan didermakan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia dan ‘Women’s Aid Organization.
“Ia sesuatu yang bermakna buat JDT untuk meraikan pesakit kanser dalam perlawanan JDT All-Stars Friendly ini,” jelas Dato’ Haji Ismail Karim, Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
“Banyak yang dilalui pesakit kanser dan ianya sangat panjang kerana ia merupakan urusan berterusan yang boleh mengambil masa bertahun-tahun. Tempoh tersebut sangat mencabar dan mereka memerlukan segala sokongan yang mungkin.
“Usaha seperti ini bukan sahaja membantu dari segi menyediakan bantuan kewangan tetapi juga sokongan moral kerana ramai pesakit akan berasa gembira menjadi sebahagian daripada acara sebesar ini. Saya harap kami dapat mengumpulkan sebanyak mungkin wang untuk ketiga-tiga organisasi ini.”
Pesakit kanser ini akan menyaksikan perlawanan ini di Larkin sebagai tetamu sebelum diundang menerima cek sebagai simbolik sumbangan dari persembahan yang dipenuhi bintang ini.
Kanak-kanak yang menghidap kanser juga telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam klinik bola sepak melibatkan para legenda dan pelatih Akademi JDT di Pusat Latihan Padang Seri Gelam pada 1 Julai.