Seramai 1375 pegawai polis bakal ditempatkan pada hari perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dianggarkan seramai 85,000 penonton akan hadir, Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu seramai 1165 akan ditugaskan menjaga keselamatan sementara 210 lagi mengawal trafik pada hari perlawanan.
Menurutnya, demi memastikan kelancaran hari perlawanan, beliau menjelaskan penugasan kawalan lalu lintas akan bermula jam 8 pagi sementara bagi pihak keselamatan akan bermula jam 3 petang.
âPolis Kuala Lumpur akan cuba memastikan kelancaran trafik dan keselamatan orang ramai yang menuju ke stadium, jadi sebagai nasihat, gunakan pengangkutan awam (LRT) ke Stadium Bukit Jalil kerana parkir agak terhad.
âTerdapat sebanyak 3500 parkir sahaja akan disediakan, sekiranya lot parkir telah penuh, tindakan penutupan atau lencongan jalan akan dibuat.
âJangan sama sekali meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar Bukit Jalil sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman atau tunda kerana menghalang lalulintas.
âKepada sesiapa yang tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak, elakkan gunakan jalan sekitar Bukit Jalil bagi mengelakkan kesesakan jalan raya,â katanya.
Bas bagi penyokong Perak akan ditempatkan di Parkir F sementara bas penyokong Kedah di Parkir B (sebelah kiri laluan) manakala kenderaan untuk orang awam ialah di bahagian A, B , D dan E.
Dalam masa sama, Mazlan menjelaskan pemeriksaan akan dibuat sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium terhadap penonton dengan mereka ditegah membawa barang-barang terlarang seperti mercun, bunga api, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata. minuman keras, payung dan tongkat.
âPolis akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada penyokong dan penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
âPenonton dinasihatkan menjaga tatatusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga cetuskan kekacauan sewaktu mahu pun selepas perlawanan tersebut.
âKami akan menempatkan balai polis bergerak di hadapan stadium sekiranya penonton mahu laporkan sebarang kejadian kepada pihak polis, â katanya.