Pelumba Jepun dan Indonesia, Ryo Murata dan Shindy Patricia Elisabeth menguasai kategori 100 kilometer lelaki dan wanita terbuka edisi keempat acara larian denai Cameron Ultra Trail 2019 (CULTRA 2019) yang berakhir di Cameron Highland, Pahang, semalam.
Ryo berjaya menamatkan jarak 100km setelah mengharungi laluan gunung penuh mencabar dengan masa keseluruhan 12 jam 52 minit 41 saat mengatasi rakan senegara, Hisashi Kitamura yang menamatkan larian dengan masa 13’32.02s.
Beng Wan Ong muncul pelari terbaik Malaysia apabila berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 14’37.07s.
“Peringkat awal saingan agak mwncabar kerana hujan turun dengan agak lebat sewaktu pelari pelari dilepaskan. Human juga menyebabkan laluan denai agak licin dan kami perlu lebih berhati-hati,” jelas pelari berusia 27 tahun dari Tokyo itu.
Tambahnya, “Saya hanya menyedari sedang mendahului perlumbaan setelah melepasi jarak 30km dan terus mengekalkan momentum larian sehingga ke garisan penamat.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan gembira dengan penyertaan di CULTRA 2019 ini dan sudah tentu mahu menyertainya lagi pada masa akan datang.”
Sementara itu juara dalam kategori 100km terbuka wanita, Shindy menamatkan larian dengan masa 19’02.49s diikuti pelari Thailand, Hirajit Boonsaen dengan masa 19’55.40s dan Hsiao Shiang Chong ketiga dengan masa 21’37.09s.
“Cuaca yang sejuk ditambah dengan hujan sewaktu peserta dilepaskan seawal jam 3.30 pagi merupakan antara cabaran besar kepada pelari namun saya berjaya mengawal situasi dengan baik tanpa mengganggu rentak larian,” ujar pelari berusia 36 tahun yang pertama kali menyertai CULTRA itu.
“Acara ini sangat bagus, penganjuran yang teratur dan saya sukakan laluannya. Jika di Indonesia, laluannya sedikit berbeza kerana kawasan gunung memerlukan kami lebih banyak mendaki berbanding di sini, kami dapat berlari di hampir sepanjang laluan.”
Kategori 100km lelaki veteran menjadi milik Soonseng Ong dengan masa 15’06.15s manakala Song Hiang Ng menguasai kategori wanita dengan masa 19’26.42s.
Sementara itu, kategori 55km terbuka dimenangi pelumba dari Lahad Datu, Romi Romantis Robi bagi kategori lelaki dengan masa 7’24.08s dan Emilie Tan dari Australia dalam kategori wanita dengan masa 7’22.00s.
Kategori 55km veteran milik Raymond Lim dan Michelle Looi Mei Yan.
Syahrul Neyzam Sukasdi dan Amer Hamzah Arsyad menguasai kategori 30km lelaki terbuka dan veteran sementara Farisya Amira Ahmad Hambal dan Ong Lea Teng Alice untuk wanita.
Kategori 15km lelaki terbuka dan veteran dimenangi Muhamad Wazini Mazli dan Poh Meng Choo sementara wanita dimenangi Maryani Ismail dan Sue Ling Teoh.