Dari kaca mata penonton, keputusan seri ke atas Thailand yang terhasil pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan B Kejuaraan AFF B15 semalam sesuatu yang membanggakan apatah lagi Malaysia menamatkan aksi kumpulan selaku juara.
Rekod tanpa kalah dalam kesemua perlawanan termasuk menewaskan Australia selain kenduri gol ke atas Brunei Darussalam membuktikan anak didik P Maniam punya kualiti tersendiri.
Hanya keadaa tampak resah apabila dua perlawanan terakhir, Malaysia gagal menjaringkan gol, sebaliknya tuah menyebelahi skuad negara apabila satu mata berjaya diperolehi, kedua duanya hasil jaringan sendiri pemain lawan.
P Maniam nyata berpuas hati dengan persembahan anak didiknya yang tidak mengenal erti putus asa sehingga ke saat saat akhir.
“Pemain pemain negara bekerja keras, mereka bermain dengan semangat yang tinggi. Babak pertama kami gagal mengawal perlawanan dan pihak lawan lebih baik tetapi mereka tetap berusaha.
“Babak kedua kami dapat lihat perubahan pada corak permainan selepas beberapa pemain dibawa masuk dan karakter pemain berubah dan mereka semakin baik disetiap posisi,”kata P Maniam.
Bagi bekas pengendali Selangor itu, belum masa untuk meraikan kerana mereka perlu mempersiapkan diri sebelum turun berdepan Vietnam di separuh akhir untuk memburu slot ke final.
“Walaupun gol sendiri di penghujung perlawanan apa yang penting, kami mencipta peluang yang menjadi punca kepada jaringan itu. Terima kasih kepada pemain pemain dan barisan kejurulatihan tetap tugas kami masih belum selesai kerana perlu fokus kepada perlawanan separuh akhir,”kata P Maniam lagi.
Dari satu aspek, samada Malaysia semakin ‘tumpul’ di depan gawang atau masih belum menemui sentuhan terakhir untuk menggegar gawang lawan, jawapan itu ada pada barisan kejurulatihan dan P Maniam.
Diatas kertas, Vietnam mungkin boleh dijinakkan berdasarkan pencapaian mereka dalam kumpulan A dimana mereka menang empat dan tewas sekali berbanding Malaysia yang menang tiga perlawanan dan dua keputusan seri.
Hakikatnya, Malaysia tidak boleh menganggap, mencipta peluang tanpa sebarang jaringan sebagai kelebihan kerana jika lawan mampu menjaringkan satu gol daripada satu peluang sekalipun, ia akan mengundang kekecewaan terhadap kem negara.
Justeru, kem negara perlu tajam didepan gawang, tidak kira siapa pun yang bakal diturutnkan kelak, selain memastikan kesilapan diminimakan sebaik mungkin untuk menutup ruang dan peluang kepada lawan menjaringkan gol
Hanya pemain Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Muhd Harry Danish Mohd Haizon muncul penjaring terbanyak skuad kebangsaan dengan tiga gol diikuti Muhd Aliff Izwan Yuslan, Muhd Izrin Ibrahim, Muhd Nabil Qayyum Zainuddin, dan Zubaidi Mohd Buang yang melakar dua gol.