Beberapa rakan penaja dan komersial Malaysian Football League (MFL) menyatakan sokongan padu untuk meneruskan kerjasama dengan badan pentadbir Liga Malaysia itu meskipun berlakunya perubahan pucuk pimpinan.

MFL telah mengumumkan perubahan status jawatan Pengerusi MFL kepada Presiden MFL menerusi pindaan perlembagaan yang menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin dipilih secara sebulat suara sebagai Presiden MFL menerusi undian daripada Ahli Lembaga Pengarah.

Pindaan perlembagaan MFL menerusi persetujuan kesemua pemegang taruh itu mensyaratkan calon untuk menduduki kerusi tertinggi MFL adalah dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan Datuk Hamidin dipilih mengambil alih teraju MFL daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Pengerusi MFL sebelum ini.

Bagi Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, pihaknya amat berpuas hati sepanjang tempoh dua tahun bekerjasama dengan Tunku Ismail yang dilihat berjaya mencetuskan inspirasi bukan hanya kepada komuniti bola sepak malah keseluruhan industri sukan.

“Komitmen jitu Tunku Ismail berjaya melakukan transformasi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) serta bola sepak Malaysia menerusi kepimpinannya dalam MFL. Kami sedih apabila mendapat berita bahawa Tunku Ismail tidak lagi menerajui MFL tapi kami percaya MFL akan terus melangkah ke depan.

“Kami bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan presiden baru MFL Datuk Hamidin bagi memastikan kejayaan visi MFL Next50,” katanya dalam satu kenyataan.

Sentimen sama dikongsi Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Graham Lim yang mengakui visi besar Tunku Ismail dalam melakukan transformasi bola sepak Malaysia menjadi pendorong utama mereka bekerjasama dengan MFL.

“Kami berterima kasih kepada kepimpinan Tunku Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam yang menjadikan kerjasama ini berjaya.

“100Plus turut ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Presiden MFL yang baru Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan kami menaruh kepercayaan tinggi bahawa misi dan visi MFL Next50 akan tercapai,” katanya.

Sementara itu Ampersand Sports turut memberikan pengiktirafan tertinggi kepada sumbangan Tunku Ismail sepanjang menerajui MFL.

“Pasukan bertanding di Liga Malaysia telah menerima sejumlah besar untuk dana pembangunan di mana jumlah yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam aksi domestik. Tahun lepas RM48 juta telah diberikan dan pada tahun ini jumlahnya sama diberikan walaupun terdapat halangan dan rintangan.
 
“Selain itu, kita juga menyaksikan banyak jenama yang tidak dikaitkan dengan bola sepak domestik telah memasuki sukan ini dan teruja dengan peluang dan kelancaran MFL ketika berada di bawah kepimpinan Tunku Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

“Penaja baru seperti Shopee, Maybank dan Air Asia berada di atas ‘kapal’ Liga Malaysia selain daripada ‘orang lama’ yang sudah lama dikenali seperti 100 Plus dan Nike.
 
“Sudah jelas, tanpa liga domestik yang kuat, Malaysia tidak dapat memperbaiki peringkat dunia, dan Tunku Ismail telah mengenali kelemahan ini. Tumpuannya dan contohnya yang telah ditetapkan dengan MFL dan JDT yang menjadi contoh untuk pasukan lain untuk diikuti,” katanya.

- Advertisement -