Jaringan tunggal Lavi Somthongkham di minit keempat sudah cukup untuk memastikan Laos meraih tiga mata penting sekaligus mengejutkan Malaysia dalam aksi kedua kumpulan J Kelayakan Piala Asia 2020 Bawah 16 Tahun.

Selepas berpesta gol ke atas Kemboja pada Rabu, anak didik P Maniam dijangka tidak berdepan masalah untuk memburu kemenangan kedua ke atas tuan rumah di Stadium Nasional di Vientiane, Laos.

Namun lain pula cerita yang berlaku apabila kesilapan pemain negara dihukum mudah Lavi Somthongkham yang melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol negara Zulhilmi Sharani untuk gol tunggal perlawanan.

Sekalipun Malaysia menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan, namun aksi longlai barisan serangan khususnya nyata mengecewakan P Maniam.

Lebih malang, Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Alif Farhan Fauzi dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas pemain lawan.

 

 

Kelebihan itu nyata dimanfaatkan Laos yang menggandakan asakan untuk memburu gol kedua, namun Zulhilmi tampak lebih bersedia untuk mematahkan serangan pemain lawan.

Malaysia masih kekal ditangga kedua, berkongsi tiga mata dengan Laos yang berada di tangga ketiga, dibezakan menerusi jumlah jaringan sementara Jepun mendominasi kumpulan J selepas membelasah Kemboja 8-0. 

Malaysia akan berdepan tugas getir apabila dijadual menentang pendahulu kumpulan, Jepun pada Ahad.

- Advertisement -