Malam yang cukup gemilang buat penyerang negara, Muhammad Syafiq Ahmad apabila meledak hatrik untuk membantu Harimau Malaya berpesta gol ke atas Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Syafiq yang juga pemain Johor Darul Takzim (JDT) membuka tirai gol di minit 9 selepas menyudahkan hantaran Safawi Rasid sebelum giliran Shahrul Saad melakar nama selaku penjaring kedua Malaysia di minit 14.
Penyerang veteran negara, Norshahrul Idlan Talaha terus menceriakan kem Harimau Malaya apabila menjaringkan gol ketiga tiga minit berselang sebelum membantu pemain sayap muda negara, Muhd Akhyar Rashid di minit 51 untuk meledak gol keempat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
Syafiq ternyata cukup berbisa di depan gawang apabila menambah dua lagi gol di minit 76 dan 89 untuk memastikan kemenangan selesa Malaysia ke atas Sri Lanka.
Ia sekaligus menjadi tonik terbaik buat Harimau Malaya yang akan bertandang ke Hanoi, bertemu tuan rumah, Vietnam pada 10 Oktober depan bagi perlawanan ketiga kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.