Penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Muhammad Haziq Nadzli menyifatkan trofi Challange Cup 2019 adalah kejayaan paling bermakna dalam kariernya selepas berjaya menewaskan UKM FC dalam aksi final 2 menerusi penentuan sepakan penalti semalam.
Jelasnya, kejayaan yang diraih itu cukup memberi kesan apatah lagi ini adalah hasil kerja keras dan titik peluhnya sendiri serta rakan sepasukan lain bermula daripada peringkat kumpulan hingga ke final.
Pemain berusia 21 tahun itu menjadi wira buat pasukan apabila cemerlang menyelamatkan tiga sepakan penalti UKM FC sebelum akhirnya Fadhli Shas menyempurnakan sepakan kemenangan dengan keputusan 6-5 bagi menjulang trofi Challenge Cup musim ini.
Aksi final 2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas penyerang UKM FC Mateo Roskam meledak gol pada minit ke-82 bagi memadamkan kelebihan satu jaringan JDT II pada final pertama.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan atas kerja keras pada malam ini sehinggalah ke penentuan sepakan penalti.
“Kalau sudah sampai hingga ke penentuan penalti, peluang itu memang 50-50 dan saya tidak fikir apa sangat kerana ingin fokus betul-betul.
“Saya hanya nak bagi yang terbaik sahaja hingga berjaya menyelamatkan tiga penalti dan sudah pasti trofi yang dimenangi ini paling bermakna dengan hasil titik peluh semua pasukan,” jelas Haziq.
Walaubagaimanapun, bekas penjaga gol PDRM ini belum berpuas hati dengan prestasinya secara keseluruhan pada musim ini sambil menyifatkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
Haziq berkata, misinya belum berakhir apabila kini mengharapkan slot untuk terpilih beraksi dalam skuad bawah 23 tahun negara menjelang temasya Sukan Sea Filipina pada Disember depan.
“Musim depan saya akan pastikan prestasi yang lebih baik dapat dipamerkan bersama pasukan ini kerana tahun ini saya boleh katakan pencapaian diri sendiri kurang memuaskan.
“Apa-apa pun, tugas seterusnya adalah untuk kembali beraksi di pentas Sukan Sea dan menebus kembali kekecewaan dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
“Mudah-mudahan saya masih berpeluang untuk disenaraikan dan akan buat yang terbaik untuk temasya kali ini,” katanya.