Misi memburu gelaran juara keseluruhan bagi kelas CP115 masih terbuka dan ia akan berterusan di Litar Lumba Tangkak, Johor hujung minggu ini.

Litar tersebut akan menjadi gelanggang untuk Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas bagi menggantikan Kota Bharu kerana aksi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu terpaksa dibatalkan bagi menghormati tempoh berkabung seluruh negeri Kelantan selama 40 hari.

Setakat ini, tujuh pusingan sudah berlalu dan perebutan untuk mahkota keseluruhan terus menjadi buruan. Justeru, aksi di Litar Lumba Tangkak hujung minggu ini pasti menjadi medan buat para pelumba untuk memburu mata maksimum dalam usaha mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Selepas berakhirnya di aksi di Kangar dua minggu lalu, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff masih unggul memimpin kedudukan apabila berjaya meraih 125 mata meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan perbezaan 17 mata.

Perbezaan mata yang agak tipis itu belum menjanjikan keselesaan buat Syukran kerana jumlah tersebut belum boleh dianggap selamat.

Menyedari situasi tersebut, maka pelumba asal Terengganu itu tidak boleh kehilangan mata berharga andai mahu mengekalkan statusnya selaku pendahulu keseluruhan.

Dia juga tidak boleh memandang mudah ancaman yang bakal diberikan oleh Syafiq yang dilihat semakin stabil dalam tiga pusingan terakhir kejuaraan ini.

Syafiq telah memahat nama sebagai juara pada aksi di Kangar dua minggu lalu sebelum muncul naib juara pada aksi Pusingan 6 di Teluk Intan bulan lalu.

Kedua-duanya memiliki kelebihan tersendiri, namun Syukran dianggap pelumba paling konsisten sejak kejuaraan ini membuka tirainya di Jasin, Melaka pada Mac lalu.

Mengimbas pencapaian Syukran sepanjang musim ini, dia boleh dianggap pelumba paling stabil dan dia berjaya mengutip mata di setiap pusingan.

Walaupun baharu sekali bergelar juara iaitu di Teluk Intan, namun dia terus konsisten menempatkan diri sebagai naib juara bermula dengan Pusingan 1 sehingga ke Pusingan 4.

Nasibnya tidak begitu baik apabila beraksi di negeri kelahirannya sendiri, Terengganu apabila sekadar memungut 4 mata sebelum bangkit untuk bergelar juara pada Pusingan 6 di Teluk Intan.

Pada aksi Pusingan 7 di Kangar, dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk meraih 16 mata, sekali gus kekal sebagai pendahulu keseluruhan.

Tangkak boleh dianggap litar kegemaran Syukran kerana ketika beraksi pada Pusingan 3 yang lalu, dia muncul naib juara di belakang pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley.

Nasib Syafiq di litar Tangkak pula tidak begitu baik kerana dia gagal menamatkan perlumbaan pada saingan Pusingan 3 yang lalu.

Minggu ini, peluang Syukran untuk mengulangi pencapaiannya di litar yang sama nampak sangat cerah kerana juara Pusingan 3 di Tangkak, Adib belum pasti dapat beraksi.

Adib kini masih menjalani proses pemulihan selepas terjatuh ketika beraksi di Teluk Intan awal bulan lalu. Adib ketika dihubungi menjelaskan bahawa dia berharap dapat kembali beraksi pada Pusingan 8 di Tangkak minggu ini.

Menurut pelumba asal Selangor itu, proses pemulihannya setakat ini berjalan lancar dan jika mendapat pengesahan daripada doktor, dia akan kembali beraksi.

“Saya terkilan kerana kehilangan mata dalam dua pusingan terakhir dan atas sebab itu semangat saya untuk kembali beraksi semakin tinggi. Saya berharap dapat beraksi di Tangkak minggu ini.

“Keadaan saya sekarang pun semakin pulih dan tidak sabar untuk kembali ke gelanggang,” jelas Adib yang kini berada di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengumpul 66 mata.

Andai Adib yang merupakan antara pencabar terkuat belum mendapat pelepasan untuk beraksi di Tangkak, Syafiq dan Syukran juga perlu mengawasi kebangkitan pelumba lain termasuk Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang) yang kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 85 mata.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Md Aiman Azman juga semakin gagah melontarkan cabaran kebelakangan ini dan kehebatannya agak terserlah pada tiga pusingan terakhir.

Setakat ini, Aiman berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan meraih 73 mata. Selepas Tangkak, Pusingan 9 kejuaraan ini akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 16-17 November nanti manakala pusingan penutup tirai akan diadakan di Sepang (7-8 Disember).

 

Kedudukan keseluruhan CP115

Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 125 mata

Md Syafiq Rosli (PRK) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 108

Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 85

Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 73

Md Khairil Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 70 

- Advertisement -