Edisi kedua perlumbaan berbasikal, Tour de Selangor 2019 (TDS2019), pada Disember ini telah menarik penyertaan 120 pelumba dalam dan luar negara dengan jelajah lima peringkat itu merangkumi jarak keseluruhan 716 kilometer.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, saingan selama lima hari itu akan mempertaruhkan tiga jersi — Juara Keseluruhan (kuning), Raja Bukit (Polka Dot) dan Raja Pecut (biru).

“Penganjuran TDS2019 adalah inisiatif kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk mengharumkan nama Selangor dan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan penyampaian tajaan TDS2019. di Shah Alam.

Tambah Mohd Khairuddin, setakat ini, enam syarikat korporat telah menyalurkan penajaan mencecah RM1.5 juta untuk jelajah tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, jelajah tersebut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM70,000 itu dan ia bakal disertai oleh 20 pasukan dalam dan luar negara.

Menurutnya, 12 pasukan benua telah mengesahkan penyertaan selain empat pasukan kebangsaan dan empat pasukan negeri.

Majlis pelepasan perlumbaan, yang menelan kos sekitar RM2.5 juta itu, dijadual dilakukan di pejabat Central Spectrum (M) Sdn Bhd di Pulau Indah pada jam 11 pagi,18 Dis ini, sebelum berakhir di Shah Alam pada 22 Dis ini.

 

JADUAL PERLUMBAAN TDS2019:

18 Dis: Peringkat 1 – Pulau Indah-Banting (182.3km)

19 Dis: Peringkat 2 – Sungai Buloh-Kajang (160.5km)

20 Dis: Peringkat 3 – Cyberjaya-Bukit Jugra (90.5km)

21 Dis: Peringkat 4 – Selayang-Sungai Besar (142.2km)

22 Dis: Peringkat 5 – Bukit Raja-Shah Alam (111.9km).

- Advertisement -