Selepas dibelenggu dengan tekanan, skuad bolasepak B 22 tahun negara kembali mendapat suntikan semangat untuk memburu slot dua terbaik kumpulan A sekaligus melangkah ke separuh akhir.
Kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste sedikit sebanyak menghidupkan peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk kembali memburu kelompok dua teratas dengan baki satu perlawanan sahaja lagi perlu diharungi.
Menambahkan lagi semangat yang sedia ada, Malaysia kini ditangga ketiga, berkongsi empat mata dengan pasukan ditangga kedua, Kemboja dan tuan rumah Filipina yang berada dikedudukan keempat dimana ketiga tiga pasukan dibezakan dengan jumlah gol.
Sementara Myanmar kekal menerajui kumpulan A dengan 10 mata selepas menundukkan Kemboja 2-1 sekaligus sudah layak ke peringkat kalah mati.
Malaysia ‘wajib’ menang ke atas Kemboja pada perlawanan terakhir pada Rabu dengan jaringan yang selesa untuk mengisi kedudukan kedua sekaligus mara ke separuh akhir.
Ini kerana, Filipina akan berdepan Timor Leste pada aksi terakhir dan pastinya akan memburu jaringan besar untuk mengubah kedudukan sekaligus mengisi slot empat terbaik.