Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei myanpaikan ucapan penghargaan khususnya barisan kejurulatihan yang telah membimbingnya dalam sepanjang karier sebagai pemain badminton.
Chong Wei menggantung raketnya secara rasmi pada Jun lalu berpendapat, kejayaan yang telah dicapai tidak akan tercapai tanpa bimbingan jurulatih-jurulatih.
Menerusi laman sosial instagram, nama nama yang disebut antaranya Datuk Misbun Sidek, Teh Peng Huat, mendiang Indra Gunawan, Li Mao, Rashid Sidek, Morten Frost, Datuk Tey Seu Bock, Hendrawan antara yang telah mencurah ilmu dan pengalaman bukan sahaja dalam badminton tetapi sahsiah peribadinya.
“2019 merupakan tahun yang penuh suka duka buat saya, secara fizikal dan emosi. Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih saya.
Tanpa mereka, saya tidak akan berpeluang mewakili negara. Mereka berkeras dalam latihan, sangat keras sehingga ada beberapa hari minda saya terasa kosong kerana terlalu menekan diri sendiri,” katanya.
Chong Wei berkata ada ketikanya beliau muntah di gelanggang dan beberapa ratus kali pulang ke rumah dalam keadaan kekejangan otot.
“Tidak pernah saya merungut kerana saya tahu mereka boleh berlembut dengan saya, ambil gaji mereka dan meneruskan kehidupan. Mereka keras dan tegas, kerana mahu saya memberikan yang terbaik,” kata Chong Wei lagi.
Beliau juga berkata: ”Sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka lakukan untuk saya. Sebagaimana pepatah Cina berkata – Sehari sebagai guru anda, sepanjang hayat selaku bapa anda. Terima kasih jurulatih!”
Bekas pemain ranking nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya daripada dunia badminton profesional selepas kerjaya 19 tahun yang gemilang.
Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu yang didiagnos menghidap kanser hidung peringkat awal tahun lepas, berkata beliau memilih untuk bersara selepas diberitahu doktor bahawa tubuhnya tidak lagi mampu melakukan latihan intensif diperlukan untuk pertandingan peringkat tinggi.