Juara sulung pusingan play offs ke Liga M3, KSR Sains tidak mahu kehadiran dalam pentas Liga M3 2020 sekadar âcukup syaratâ sebaliknya mereka serius mahu memberikan impak pada tahun pertama penyertaan mereka.
Justeru, KSR Sains akan cuba melakukan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) bagi mendapatkan pemain-pemain berpotensi terutama bakat muda yang berasal dari Negeri Sembilan bagi memperkukuhkan cabaran pasukan.
Ketua jurulatihnya, Syed Mazlan Syed Zubir juga mendedahkan jika faktor kewangan mengizinkan, beliau berharap pihak pengurusan mampu mendapatkan dua tenaga import bagi memastikan mereka mampu bersaing di tahap lebih baik.
âMungkin saya boleh katakan buat masa ini kami mahu dapatkan beberapa pemain berkualiti lagi bagi hadapi M3, terutama anak Negeri Sembilan dan selepas ini, kami akan lakukan perbincangan dengan PBNS.
âKami akan perhalusi beberapa kekurangan dalam pasukan kerana KSR Sains memang cukup serius selepas muncul juara saingan play offs ini yang saya harap mampu jadi pemangkin semangat kepada semua pihak.
âMalah saya harap jika ada bajet, saya harap boleh mengambil satu atau dua pemain luar untuk memastikan KSR Sains lagi mantap untuk beri saingan, â katanya.
KSR Sains muncul juara pada Sabtu lalu di Stadium UiTM Shah Alam selepas jaringan tunggal pemain gantian, Norfaizzal Faroq Zainuddin pada minit 89 sudah cukup memastikan Ikram Muda FC berputih mata dengan kemenangan tipis 1-0.
Kemenangan itu secara tidak langsung menobatkan KSR Sains yang merupakan juara Piala Presiden PBNS sebagai juara keseluruhan Liga M4 selepas persaingan membabitkan wakil 16 pasukan dari semua saingan Liga M4.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Ikram Muda FC, tidak kecewa dengan kekalahan di pentas yang disifatkan cukup perit untuk diterima selepas menguasai hampir 70 peratus permainan selain dihidangkan sekurang-kurangnya lima peluang keemasan mendapatkan jaringan.
Baginya apa yang mustahak mereka sudah mendapat slot di Liga M3 dan mengharapkan pemain-pemainnya bersedia menghadapi saingan yang sengit pada musim depan.
âInilah konsep bola sepak, anda kuasai permainan dan mencipta seberapa banyak peluang sekali pun tetapi di pengakhirannya yang akan dikira ialah berapa jaringan mampu dibuat.
âBagaimanapun kami tetap teruja mampu melangkah ke perlawanan akhir selepas peluang diberikan saat akhir di saingan play-offs dan daripada sini, Ikram Muda FC sedia melangkah jauh.
âObjektif kami mahu berikan peluang kepada pemain-pemain yang mungkin terlepas peluang untuk beraksi di peringkat profesional bagi menunjukkan kebolehan mereka di samping saya percaya ia perlu dibantu pengurusan serta perancangan yang baik, â katanya.