Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menasihatkan agar pasukan-pasukan Liga Malaysia tidak mudah menawarkan âbulan dan bintangâ kepada pemain bagi mengelak daripada terjebak dengan masalah kewangan.
Ini kerana beliau mengakui berasa sedih melihat sebahagian besar pasukan bola sepak Liga Malaysia masih terus dihimpit dengan isu tunggakan gaji pemain.
âKalau rasa ada kelab yang boleh bayar (gaji pemain) RM60,000 atau RM70,000, pergilah ke situ beramai-ramai.
âJangan jadi macam Perlis FA sampai âtutup kedaiâ manakala Kelantan bagai âtelur di hujung tandukâ dan ini adalah satu senario yang tidak sihat kepada bola sepak negara kita.
âIni adalah contoh buruk kepada sukan dan bukan sahaja kepada bola sepak kecuali pemain kita telah layak ke Piala Dunia atau kelab-kelab dari luar negara berebut untuk mendapatkan pemain kita dengan membayar gaji yang mahal, maka berbaloilah (gaji yang dibayar kepada pemain).
âTidak perlu berbelanja tinggi mendapatkan pemain jika tidak mampu, kenapa tidak beri peluang kepada pemain muda yang pastinya gaji tidak begitu tinggi. Ada pemain yang minta gaji tinggi tapi prestasi atas padang tidak setanding pun dengan gaji,â katanya.
Sebagai rekod, Malaysian Football League (MFL) telah memutuskan untuk memperkenalkan Economic Control Programme (ECP) secara berperingkat bermula musim ini sebelum pelaksanaan menyeluruh dan lebih ketat pada musim 2021.
ECP yang sebelum ini telah dipratikkan di LaLiga, bakal menjadi satu anjakan paradigma bola sepak tempatan dalam usaha mendidik pasukan-pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah dan bebas hutang membabitkan tunggakan gaji.
Setiap pasukan diwajibkan untuk menghantar pelan perbelanjaan dan pendapatan sebelum dibenarkan untuk mendaftar pemain musim ini.
Dalam perkembangan sama, Zolkples berharap kes tunggakan gaji tidak akan berlaku pada masa akan datang jika kelab Liga Malaysia menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.
Jelasnya, ia akan menjadi satu perbuatan tidak adil kepada MFL yang berusaha keras memperkenalkan ECP tetapi ia tidak dimanfaatkan oleh pasukan dalam usaha menangani masalah hutang.
âJadi bukan sahaja pemain tetapi semua yang terlibat harus mencerminkan diri atau ukur baju di badan sendiri jika kita semua masih mahu hidup lebih lama dalam industri bola sepak.
âJika tidak berita ini akan terus berada di belakang dada akhbar berkenaan masalah kewangan bola sepak.
âBukan tidak ada cerita yang baik tetapi kisah kurang enak lebih banyak mewarnai muka belakang surat khabar.