BERBEKAL beberapa pencapaian memberangsangkan yang diraih dalam tempoh tiga tahun ini, skuad benua Thailand (Thailand Continental Team) kembali hadir mewarnai saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 dengan potensi sebagai antara pasukan yang mampu melakukan kejutan pada perlumbaan edisi ke-25 yang akan bermula minggu depan.
Pasukan tersebut bakal menampilkan pelumba berdarah kacukan Perancis-Laos, Ariya Phounsavath yang baru meraih kedudukan kedua keseluruhan pada saingan Jelajah Asia, Jelajah Berbasikal Cambodia Bay tepat sebulan yang lalu.
Pelumba berusia 28 tahun itu yang merupakan pelumba Laos pertama berjaya memenangi emas lebuh raya Sukan SEA di Myanmar pada 2013, akan hadir dengan matlamat meneruskan prestasi konsisten di Malaysia.
Antara kejayaan yang dicatatkan sepanjang bersaing di Malaysia termasuk meraih kedudukan ke-2 keseluruhan pada Piala Ketua Menteri Melaka pada 2014, ke-5 keseluruhan pada Jelajah Malaysia 2017 dan ke-16 keseluruhan dalam LTdL 2014.
Kemuncak kejayaan yang diraih Phounsavath ialah apabila menjuarai Jelajah Indonesia 2018. Cabaran bagi Phounsavath yang disasarkan untuk merebut salah satu daripada empat jersi pertaruhan LTdL bakal dibantu dengan kehadiran pelumba berpengalaman, Phuchong Saiudomsin, 31 tahun, selain tiga pelumba Thailand yang membentuk skuad Ujian Masa Berpasukan yang memenangi emas Sukan SEA lepas.
Sarawut Sirironnachai, Navuti Liphongyu dan Peerapol Chawchiangkwang dijangka akan menyuntik kekuatan berganda bagi membantu Phounsavath seterusnya bersedia untuk menghambat kumpulan pelumba yang melakukan pemecahan mahupun mempertahankan posisi dalam peloton sekiranya keadaan memerlukan.
Seorang lagi pelumba skuad Ujian Masa Berpasukan Thailand, Thurakit Boonratanathanakorn diletakkan sebagai pelumba simpanan bersama pelumba negara Loh Sea Keong.
Dalam kancah saingan yang turut dibarisi beberapa skuad Jelajah Dunia seperti NTT Pro Cycling serta skuad benua profesional ampuh seperti Bardiani CSF Fanzane, Vino Zabu KTM, Androni Giocatolli dan beberapa yang lain, perebutan jersi kuning keseluruhan diperakui nampak mencabar.
Namun bagi skuad benua Thailand ini, sasaran meraih jersi putih juara berpasukan dan individu Asia seharusnya berada dalam jangkauan. Saingan Asia yang menampilkan 10 pasukan dari China, Hong Kong, Indonesia, Kazakstan, Jepun dan Malaysia memungkinkan skuad Thailand, yang dibarisi pelumba ampuh seperti Phounsavath, menjadi calon juara bagi jersi putih Asia.
PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 akan menyingkap tirai dengan perlumbaan pemanas badan Resorts World Genting Kota Kinabalu Criterium International yang dianjurkan buat pertama kali bersempena sambutan jubli perak LTdL tahun ini.
Perlumbaan tersebut akan berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 6 Februari sebelum bermulanya Peringkat 1 di Kuching pada 7 Februari.
Perlumbaan 8 peringkat yang menyusuri lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan itu menampilkan pasukan daripada kelompok Jelajah Dunia, profesional benua serta benua, dan akan berakhir di Langkawi pada 14 Februari sebelum dilengkapkan dengan perlumbaan MMC Langkawi Malaysian Classic pada 15 Februari.
Pasukan Malaysia merupakan satu-satunya yang tampil beraksi dalam kategori skuad kebangsaan.
SENARAI PELUMBA: Sarawut Sirironnachai (Tha), Navuti Liphongyu (Tha), Peerapol Chawchiangkwang (Tha), Phuchong Saiudomsin (Tha), Thanakjan Chaiyasombat (Tha), Ariya Phounsavath (Lao); Pelumba simpanan: Thurakit Boonratanathanakorn (Tha), Loh Sea Keong (Mas)