Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) menyarankan temasya sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung pada penghujung Mac ditunda sekali lagi.

Temasya yang memasuki edisi ke 10 tahun ini berkemungkinan terpaksa ditunda untuk kali ketiga susulan wabak Novel Coronavirus yang sedang menular ketika ini.

Justeru, PSC mengharapkan Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) untuk membuat perbincangan dengan Pesekutuan Paralimpik ASEAN (APSF) untuk mengubah jadual pertandingan.

Sukan Para ASEAN yang dijadual berlangsung sejurus selepas Sukan SEA ke 30 yang tamat pada penghujung Disember lalu ditunda kepada awal januari susulan kekangan kewangan oleh pihak penganjur.

Namun PPC sekali lagi terpaksa menunda untuk kali kedua ke bulan Mac kerana peruntukkan yang sepatutnya diterima daripada kerajaan persekutuan hanya diluluskan pada penghujung bulan Januari.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Atasan dan Presiden, mereka menasihatkan untuk melakukan langkah langkah yang perlu untuk mencegah sebarang penyebaran wabak itu. Justeru kami telah membatalkan Sukan Kebangsaan (Philippine National Games) dan semua kejohanan di peringkat akar umbi.

“kami juga dinasihatkan oleh ahli lembaga untuk menunda Sukan Para ASEAN demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak,”kata Pengerusi PSC, William Butch Ramirez dipetik daripada laporan media tempatan Philstar.com.

Presiden PPC, Michael Barredo dan Ramirez dikhabarkan terbang ke Thailand hari ini untuk menyatakan pandangan berhubung penundaan sukan tersebut kepada delegasi ASEAN.

Barredo menjangkakan Sukan Para ASEAN hanya akan diadakan diantara bulan Mei atau Jun.

Novel Coronavirus yang mencetuskan ketakutan di serata dunia menyaksikan beberapa kejohanan antarabangsa yang berlangsung i China seperti Kelayakan Olimpik tinju Asia Oceania yang dijadual berlangsung di Wuhan, pada bulan ini ditunda ke Mac dan akan berlangsung di Amman, Jordan.

Kelayakan Olimpik bagi sukan taekwondo yang sepatutnya berlangsung di Wuxi, China juga dipindahkan ke negara lain.

 

 

- Advertisement -