Pelumba Vino Astana Motors, Yevgeniy Fedorov meraih kemenangan bermakna dalam Peringkat 1 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) di bandaraya ini, sekaligus menguasai tiga jersi taruhan pada akhir perlumbaan.
Fedorov yang membuat pemecahan secara solo selepas melewati zon pecutan pertama di Sejingkat, disertai pelumba Thailand Continental Team, Thurakit Boonratanathanakorn, menguasai dua zon pecutan seterusnya, dan menewaskan Thurakit dalam henjutan terakhir ke garisan penamat, untuk mencatat masa jam 1 jam 51 minit 1 saat dalam kayuhan sejauh 85.6km itu.
Kedua-dua pelumba itu yang berada jauh hampir 5 minit di depan, cuba dikejar peloton yang diterajui beberapa pasukan lain tetapi gagal, sebelum kelompok peloton yang diketuai pemenang tempat ketiga dari pasukan Team Sapura Cycling, Ahmet Orken, tiba 1:17 saat kemudian.
Selain jersi kuning selaku pendahulu jelajah ini, Fedorov turut dinobatkan penyarung jersi hijau Raja Pecut dengan mengumpul 21 mata, termasuk masing-masing 3 mata di zon pecutan berhampiran Kuching Isthmus dan pada pusingan ketiga loop mula/tamat di hadapan Padang Merdeka.
Pelumba Kazakhstan berusia 19 tahun itu turut memenangi jersi putih Pelumba Terbaik Asia, dan membantu pasukan Vino-Astana Motors menduduki tempat teratas senarai berpasukan dengan catatan keseluruhan 5 jam 35 minit 40 saat, 6 saat di depan Thailand Continental Cycling Team dan Bardiani CSF Faizane.
Dalam perlumbaan dilepaskan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, serta Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Padang Merdeka itu, peloton berkayuh laju tetapi Fedorov dan Thurakit meloloskan diri pada pertengahan jarak.
Walaupun berada selesa di depan, kedua-dua pelumba itu bekerjasama baik untuk memastikan jurang yang agak lebar menjelang tiba semula di Padang Merdeka, serta empat pusingan yang dilalui dalam bandaraya ini, sambal peloton yang diterajui oleh pasukan NTT Pro Cycling dan Bardiani cuba mengejar, tetapi gagal.
Tatkala pecutan terakhir, Fedorov yang juga pemenang pingat perak Kejohanan Berbasikal Asia B-23 tahun lalu, lebih bijak memperdaya Thurakit untuk memastikan dia terlebih dulu melintasi garisan penamat.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan pada sebelah pagi tadi sebelum perlumbaan bermula. Tetapi ini adalah satu kemenangan membanggakan untuk saya dan seluruh pasukan, dan saya masih tidak dapat mempercayainya.
“Saya mengambil keputusan untuk meloloskan diri dan tidak sedar jurang di depan semakin jauh. Bersama-sama pelumba Thailand itu (Thurakit), kami bekerjasama dengan baik untuk menjarakkan diri di depan peloton sebelum pusingan terakhir ke garisan penamat.
“Saya gembira dan dengan jurang masa yang agak selesa ini, saya bertambah yakin untuk menghadapi peringkat seterusnya,” katanya yang berbangga dapat meneruskan penguasaan jersi putih Pelumba Terbaik Asia yang dimenangi rakan sepasukan tahun lalu, Vadim Pronskiy yang kini bersama pasukan World Team, Astana Pro Team.
Sementara itu, Thurakit turut terkejut dengan keputusan Peringkat 1 itu, berkata dia membuat keputusan yang tepat untuk mengejar dan bekerjasama dengan Fedorov ketika melihat pelumba Kazakhstan itu meloloskan diri secara berseorangan.
“Apabila melihat dia berada agak jauh tanpa dikejar mana-mana pelumba lain, saya mengambil keputusan untuk mengejarnya kerana sedar sebagai pelumba pakar ujian masa, saya ada tenaga dan kelajuan yang baik.
“Kemudian kami saling bekerjasama dan walaupun menyedari jurang masa semakin mengecil, kami yakin untuk terus berada di depan peloton. Pada henjutan terakhir, saya sedar dia (Fedorov) lebih bertenaga. Tetapi saya tetap gembira dengan keputusan tempat kedua ini.
“Ini keputusan yang baik buat pasukan kami dalam LTdL sejak ditubuhkan empat tahun lalu. Walaupun banyak kemenangan sebelum ini dalam perlumbaan bertaraf 2.1 dan 2.1, ini adalah keputusan terbaik dalam LTdL yang berstatus Pro Series.
“Kami yakin dapat memenuhi sasaran awal pasukan iaitu memburu kedudukan terbaik berpasukan keseluruhan dan Asia kerana kami juga mempunyai beberapa pendaki yang handal. 1 minit 17 saat adalah jurang yang bagus,” katanya.
Esok, Peringkat 2 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2010 akan membawa pelumba mengharungi kayuhan sejauh 175.5km dari Kuala Terengganu ke Kerteh.
Edisi ke-25 tahun PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2020 membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan buah negeri dan akan berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, 14 Februari depan.
Sempena ulang tahun jubli perak ini juga, penganjur Human Voyage Sdn Bhd turut menganjurkan perlumbaan Kriterium Antarabangsa di Kota Kinabalu, semalam dan Perlumbaan Klasik Malaysia di Pulau Langkawi pada 15 Februari.