SELEPAS mengharungi peringkat paling sukar iaitu pendakian ke Genting Highlands, Sapura Cycling Team (TSC) optimis mampu mempertahankan jersi kuning.
Pelumba Itali, Danilo Celano, 30, hari ini merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas tamat empat peringkat Le Tour de Langkawi (LTdl) 2020.
Dia mencatat masa keseluruhan 14 jam, 8 minit 28 saat – 30 saat mengatasi pemilik jersi kuning dalam tiga peringkat terdahulu, Yevgeniy Federov dari pasukan Vino-Astana Motors.
Lebih menggembirakan buat pasukan dari Malaysia itu, seorang lagi pelumba mereka, Muhammad Nur Aiman Zariff berjaya mengekalkan jersi merah selaku Raja Bukit.
“Kali pertama menang jersi kuning (Benjamin Dyball, LTdL 2019), anda mungkin kata kami bernasib baik tetapi kali kedua, kami jelas sudah berada pada tahap lebih tinggi.
“Kalau kita berjaya kekalkan buat kali kedua berturut-turut, ini satu pencapaian luar biasa buat pasukan dari Malaysia. Tiada pasukan (tempatan) pernah mempertahankan jersi kuning.
“Dalam masa sama, kami berjaya muncul pasukan pertama dan Nur Aiman Zariff menunjukkan prestasi bagus dengan mengekalkan jersi Raja Bukit. Itu pun tidak pernah dibuat oleh pelumba Malaysia,” kata Pengurus TSC, Sayuti Zahit.
Menurut Sayuti, selepas memenangi jersi kuning tahun lalu, TSC melakukan persiapan awal untuk menghadapi LTdL kali ini.
Bagaimanapun, kehadiran pasukan World Tour seperti NTT dan enam pasukan pro benua membuatkan mereka lebih berhati-hati.
“Biasanya kalau kita sudah mengharungi peringkat keempat, ini adalah penentuan jersi kuning. Selepas ini kalau kita tengok, laluan tak berapa susah.
“Kalau tiada apa-apa aral melintang, kita yakin untuk mengekalkan jersi kuning dan cuba memastikan Nur Aiman mendapat gelaran Raja Bukit,” katanya lagi.
Celano menamatkan peringkat keempat dari Putrajaya ke Genting Higlands sejauh 156.1 kilometer dengan berada di tangga kedua di belakang pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Kevin Rivera Serrano.