STRATEGI paling tepat akan menjadi penentu buat Muhammad Nur Aiman Zariff memahat sejarah muncul pelumba Malaysia pertama bergelar Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.
Selain itu, Sapura Cycling Team (TSC) juga menuntut ketenangan daripada pelumba berusia 22 tahun itu pada peringkat terakhir yang menawarkan zon pendakian di Langkawi, Jumaat ini.
Walaupun gagal mengutip sebarang mata dalam dua zon pendakian pada peringkat keenam dari Taiping ke Pulau Pinang hari ini, namun Nur Aiman masih mengekalkan jersi merah dengan 30 mata.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan (Nur Aiman gagal mengutip sebarang mata) kerana strategi kita hari ini, kalau dia sukar kutip mata kita akan buka laluan kepada pelumba yang bukan pesaingnya untuk meraih mata.
“Pada peringkat terakhir, pelumba akan mengharungi tujuh zon pendakian, jadi strategi awal Aiman cuba menambah mata di sana tetapi jika tidak berjaya kita tukar kepada strategi kedua, buka laluan kepada bukan pesaingnya untuk kutip mata.
“Saya percaya, walaupun Aiman masih muda, namun dia sangat berpengalaman dan harap ketenangannya akan membantu dia memahat sejarah,” kata pengurus TSC, Sayuti Zahit.
Selepas tamat enam peringkat LTdL 2020, Aiman mengekalkan jersi merah dengan 30 mata – 5 mata di depan Quentin Pacher dari pasukan B&B Hotels-Vital Concept.
- Advertisement -