Seperti juga sukan lain yang sentiasa berkembang dan menjadi medan persaingan antara jenama dan penaja, PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 juga turut menarik perhatian istimewa buat ramai peminat tegar sukan berbasikal di negara ini.
Selain mendekati pelumba dari pasukan kegemaran mereka, ramai juga yang memerhatikan jenama rangka basikal (frame), groupset dan set rim tayar yang digunakan oleh pelumba yang mengambil bahagian dalam edisi ke-25 LTdL 2020 ini.
Pada LTdL 2020 ini, tiga pasukan – Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Bridgelane dan Vino Astana-Motors – menggunakan frame jenama Argon 18 menjadikan ia jenama paling popular dalam peloton kali ini, berbanding dua pasukan lain yang menggunakan jenama KTM, iaitu B&B Hotels-Vital Concept dan Vini Zabu.
Pasukan tunggal berstatus World Team, NTT Pro Cycling menggunakan jenama BMC manakala jenama Bottecchia yang ditunggang pemenang di Genting Highlands, Kevin Rivera Serrano tidak mahu mengalah untuk membuktikan ia juga jenama yang hebat.
Selain itu, pasukan Aisan Racing pula megah dengan jenama penajanya, De Rosa, begitu juga Bardiani CSF Faizane yang menunggang jenama kebanggaan buatan Itali, Guerciotti, manakala Nippo Delko One Provence menggunakan jenama buatan Perancis, Look.
St George Continental dilihat menggunakan jenama Pardus manakala pasukan benua Jepun, Utsunomiya Blitzen menggunakan jenama Merida manakala pasukan dari Korea, KSPO menggunakan Bianchi tetapi diberitakan akan menukar kepada jenama baru selepas berakhir LTdL ini.
Team Sapura Cycling (TSC) juga boleh berbangga kerana dua penyarung jersi utama LTdL selepas enam peringkat, Danilo Celano dan Nur Aiman Zariff menggunakan jenama Cervelo.
Namun ada pasukan yang menggunakan jenama rojak, iaitu pelbagai jenama yang digunakan oleh pelumba mengikut kemampuan dan ‘kesedapan’ mereka sendiri kerana tiada penaja khusus untuk pasukan itu.
Sama seperti aksi dalam perlumbaan, kehadiran pelbagai jenama terkini dalam industri sukan berbasikal masa kini sekadar menambah dan mencambahkan lagi minat dan keghairahan peminat sukan berbasikal tempatan terhadap jenama idaman mereka.