Majlis Olimpik Malaysia (MOM), memberi sokongan penuh terhadap keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawankuasa Penganjur Tokyo 2020 bagi pengumuman tarikh baru penganjuran sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menerusi kenyataan media, Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria melihat tindakan IOC yang mengumumkan tarikh baru iaitu 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 bagi Olimpik Tokyo dalam kadar yang pantas adalah tepat.

“Kami berpuas hati dengan pengumuman tarikh baru yang dilakukan lebih awal sekaligus memberi ketenteraman dan ketenangan kepada komuniti sukan khususnya kepada atlet yang mengalami tekanan mental dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

“Tempoh penundaan selama 12 bulan ini memberikan semua pihak untuk memberi fokus dalam memerangi Covid-19 dan memastikan semua pihak dalam keadaan selamat. Tetapi memberi masa yang mencukupi untuk atlet menyusun dan mencapai semula prestasi di tahap yang optimum,”kata Norza.

MOM juga akan bekerjasama dengan IOC dan badan sukan antarabangsa untuk memastikan penganjuran temasya berlangsung secara adil merujuk kepada sistem kelayakan.

Dari pihak MOM, kerjasama akan diteruskan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), badan badan berkaitan serta atlet dan semua pemegang taruh untuk memastikan persediaan bagi memburu emas pertama Olimpik di landasan yang tepat.

 

 

- Advertisement -