Permulaan musim 2020 menjadi antara detik istimewa buat pemain tengah Johor Darul Taāzim (JDT), Ignacio Insa Bohigues atau lebih dikenali Natxo Insa selepas bergelut pulih daripada kecederaan sepanjang tahun lalu.
Daripada empat perlawanan CIMB Liga Super setakat ini, pemain yang bakal menginjak usia 34 tahun itu berada dalam kesebelasan utama sebanyak tiga kali selain membantu JDT mencipta kejutan 2-1 ke atas Suwon Bluewings dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-juara AFC.
Malah persembahan bertenaga ditampilkan Natxo mengemudi di bahagian tengah menarik ramai perhatian peminat apabila sudah ada mengharapkan bekas pemain Levante, Celta dan Zaragoza ini kembali menyarung jersi Harimau Malaya jika mampu meneruskan prestasi cemerlang seperti ditampikan pada waktu ini.
Kali pertama dan terakhir Natxo menyarung jersi Harimau Malaya adalah pada dua tahun lalu ketika skuad kebangsaan seri 2-2 bertemu Mongolia dalam satu perlawanan persahabatan pada 22 Mac 2018.
Menurut pemain yang dilahirkan di Sepanyol ini, dia masih berhasrat menyarung jersi Harimau Malaya tetapi fokusnya kini dalam meningkatkan prestasi bagi terus kekal membantu JDT selain cuba mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.
ā Sudah tentu sebagai pemain jika peluang itu datang, saya tidak akan menolaknya untuk beraksi dengan skuad kebangsaan kerana ia satu penghormatan dalam karier mana-mana pemain.
ā Cuba dalam masa sekarang, keutamaan saya mahu mengawal dan naikkan prestasi saya memandangkan sudah lama saya tidak bermain selepas kecederaan yang melanda saya musim lalu.
āTambahan persaingan dalam pasukan merebut posisi tengah cukup sengit namun ia satu situasi sihat kepada saya serta pasukan kerana secara tidak langsung masing-masing akan tingkatkan prestasi.
ā Namun jika ditanya kepada saya adakah saya mahu beraksi jika mendapat panggilan, ya sudah tentu saya akan menerimanya dan tidak akan menolak, ā katanya.
Naxto sebelum ini pernah mendapat tawaran pada sekitar tahun 2017 oleh jurulatih pada waktu itu, Nelo Vingada tetapi pada waktu itu dia belum bersedia mahu menyertai skuad kebangsaan selain melalui musim jadual yang padat selepas menyertai JDT daripada Levante.
Kehadiran Natxo di puncak prestasi dilihat pasti memberikan banyak lagi pilihan kepada jurulatih, Benjamin Mora di bahagian tengah selain Nazmi Faiz Mansor, Afiq Fazail, Hariss Harun, Syamer Kutty Abba dan pemain yang baharu meraih kerakyatan, Liridon Krasniqi.
Dalam pada itu, Natxo mengucapkan terima kasih kepada pasukan terutama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan rawatan terbaik kepada dirinya sepanjang dalam proses pulih daripada kecederaan.
ā Saya sudah boleh beraksi seperti mana satu ketika dahulu dan bukan mudah boleh bermain 90 minit dalam satu-satu perlawanan.
ā Rawatan yang saya perolehi membolehkan saya dapat bermain walaupun hampir setahun tidak beraksi pada musim lalu dan semuanya atas kemudahan disediakan TMJ.
ā Kini saya mahu membalas jasanya dengan berikan yang terbaik di atas padang dan memang satu keajaiban kerana saya sudah dapat prestasi sebegini selepas apa yang dilalui sebelum ini, ā katanya.
JDT kini berada di tangga teratas CIMB Liga Super daripada empat perlawanan apabila meraih tiga kemenangan serta satu keputusan seri sebelum liga terpaksa ditangguhhkan bermula 16 Mac lalu ekoran penularan wabak Covid-19.