Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan tiada perlawanan bolasepak akan diteruskan meskipun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan demi membendung penularan wabak Covid 19.
Kenyataan itu dijawab di sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya hari ini.
Jelas Datuk Seri Ismail Sabri, sebarang aktiviti melibatkan perkumpulan adalah tidak dibenarkan.
“SOP (Prosedur operasi standard) standard yang kita keluarkan bahawa perkumpulan tidak dibenarkan.
“Bola tidak boleh bermain seorang diri, bermain secara berpasukan. Jadi maknanya kalau dua pasukan diatas padang sahaja suda ada lebih 22 orang.
“Bola tidak seperti badminton, sebelah sana tidak bertemu di sebelah sini. Mungkin akan berlaku contact secara fizikal diantara satu sama lain,”kata Datuk Seri Ismail SabriÂ
Tambahnya lagi meskipun PKP ditamatkan selepas ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan ia bukan bermakna aktiviti kembali berjalan seperti sebelum ini.
“Jadi berdasarkan SOP standard, tentu sahaja kita tidak boleh benarkan pertandingan bola diadakan .
“Walaupun PKP ditamatkan hari ini misalnya, esok bukan bahawa rakyat boleh terus bergerak bebas seperti hari hari sebelumnya.
“Tentu sahaja ada lagi SOP lain yang akan kita perkenalkan dan perlu dipatuhi. Sebagai contoh telahpun disebutkan lebih awal lagi bahawa perhimpunan beramai ramai tidak dibenarkan itu salah satu perkara yang kita kekalkan walaupun PKP telah ditamatkan,”katanya lagi.
Malah, MKN juga sedang merangka SOP selepas PKP ditamatkan untuk memastikan rantai wabak Covid 19 diputuskan sepenuhnya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 kembali disambung.
Permohonan yang dikemukakan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengadakan mesyuarat khas dengan Presiden FAM yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
Liga Malaysia bagi musim ini ditangguhkan oleh FAM dan MFL sejak 16 Mac lalu susulan penularan COVID-19, selain mematuhi arahan kerajaan pusat yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian wabak itu.