Tempoh liga ditangguhkan ekoran penularan wabak COVID 19 membuka ruang kepada pertahanan Kuala Lumpur, Qayyum Marjoni Sabil, untuk mencuba berniaga makanan tradisi Kelantan iaitu ‘ FN Colek Leghak’ di kampung halamannya di Kota Bharu.

Mula melakukan perniagaan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengisi terluang, Qayyum akui dia berpuas hati dengan sambutan menggalakkan daripada pelanggan setakat ini terutama pada bulan puasa.

Baginya dia ambil inisiatif itu kerana tidak mahu membuang masa tanpa melakukan apa-apa di rumah selain mencari pendapatan sampingan sebagai objektif utama.

” Bahan colek leghak ini semua saya sediakan sendiri iaitu terdiri daripada ayam,perut,telur puyuh dan paru beserta keropok.

” Cuma kuahnya sahaja yang jadi bahan penting dalam colek ini saya minta ibu sediakan yang menjadi kekuatan kepada colek leghak saya.

” Colek ini sememangnya antara makanan kegemaran orang Kelantan dan senang dijalankan kerana permintaan yang tinggi.

” Kebiasaan orang di sini akan makan pada waktu moreh sebaik selepas mengerjakan solat tarawih.

” Setakat ini pelanggan saya paling minimum dalam 20 orang dalam satu hari dan setiap satu set saya jual RM17 beserta tambahan RM 3 untuk caj penghantaran,” katanya.

Di samping itu, dia juga tidak ketinggalan melakukan perniagaan menjual kasut wanita bagi mempelbagaikan pendapatan.

Qayyum yang menyertai Kuala Lumpur musim ini dari PKNS musim lalu merupakan bekas pemain Kelantan dari musim 2016 hingga 2017 serta merupakan produk skuad Harimau Muda.

Walaupun sibuk dengan perniagaan sementara waktu ini, pertahanan kiri berusia 26 tahun ini akui dia tetap rindukan dunia bola sepak dan berharap Liga Malaysia dapat dijalankan pada September ini.

” Bila sudah lama berehat ini, semakin lama semakin rindu untuk saya turun padang dan berharap penularan wabak COVID 19 ini akan segera berakhir.

” Tambahan saya bermain dalam semua empat perlawanan dengan Kuala Lumpur dan kami kini berada di tahap terbaik tanpa ada sebarang rekod kekalahan.

” Saya mahu membantu pasukan untuk dapatkan slot ke CIMB Liga Super musim depan dan mampu beri saingan dalam Piala Malaysia yang saya lihat saingan agak terbuka berdasarkan format kalah mati untuk musim ini,” katanya.

- Advertisement -