Prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sektor sukan dan rekreasi akan diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Perincian tentang SOP akan dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memastikan setiap arahan dipatuhi terutama penjarakkan sosial bagi membendung penularan Covid 19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya pengumuman yang dibuat erdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam merupakan satu petanda positif buat komuniti sukan tanah air.
KBS akan terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah baik sebarang perkara.
Antara sektor sukan yang dibenarkan ialah latihan persediaan pasukan serta aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan dan aktiviti berkumpulan di luar seperti tenpin boling, badminton, memanah, menembak berbasikal dan konvoi motosikal.
Namun, sukan renang, ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki termasuk pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai adalah tidak dibenarkan.
Kerajaan sebelum meluluskan program latihan atlet Road To Tokyo (RTT) dimana atlet dan pegawai yang terlibat akan menjalani latihan secara kuarantin di tiga kluster, Bukit Jalil, Langkawi dan Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.