Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kebenaran kepada atlet negara yang berada di bawah Program Podium dan Pelapis Kebangsaan untuk menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi kenyataan media menjelaskan kebenaran untuk menjalani latihan adalah pada 5 Julai dan secara berperingkat.
Peringatan seperti sektor sektor lain yang telah dibuka secara berperingkat sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP), atlet dan pegawai yang terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
MKN dan KKM pada awal Jun memberi kebenaran kepada 57 atlet elit di bawah program Road To Tokyo (RTT) untuk menjalani latihan bermula 1 hingga 30 Jun secara kuarantin di tiga lokasi, MSN, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Pelayaran Nasional di Langkawi.
Kelancaran kem RTT tanpa sebarang masalah besar meyakinkan KBS, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk memberi ruang kepada atlet negara lain untuk kembali menjalani latihan.
Ini bermakna, 539 atlet dan 142 jurulatih yang terlibat di bawah program RTT, Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil balik untuk menjalani latihan harian secara sepenuh masa di pusat latihan yang ditetapkan, iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara; Kompleks Sukan MSN, Keramat; dan Pusat Pelayaran Nasional, Langkawi.
Bagi sukan para pula, seramai 135 atlet dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium akan diminta melapor diri ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan pada 5 Julai ini.