Beberapa Rakan Kongsi Liga Malaysia seiring dengan Malaysian Football League (MFL) terhadap langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa cadangan latihan penuh secara berkontak ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan.
Antaranya dua pasukan CIMB Liga Super, Melaka dan Sabah, yang melihat cadangan ini sebagai sesuatu yang hadir tepat pada waktunya dengan melihat trend penularan wabak COVID-19 semakin menurun kebelakangan ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Asri Ninggal, segala perancangan pasukan kejurulatihan pasti akan lebih mudah terutama dalam perancangan taktikal ekoran buat masa ini terdapat kekangan mengumpulkan semua pemain dalam satu sesi latihan.
Beliau yang sebelum ini pernah menjadi ketua jurulatih Negeri Sembilan selain penolong ketua jurulatih Melaka, sememangnya memahami keperluan yang diinginkan oleh setiap pengendali bagi memastikan pasukan mampu bersedia 100 peratus sebelum Liga Malaysia kembali bersambung.
“Sememangnya cadangan KBS ini pasti melegakan semua pasukan dan diharapkan cadangan ini nanti mampu diterima kerana saya rasa dalam peringkat ini, latihan penuh sudah boleh dimulakan bagi memudahkan jurulatih melakukan perancangan aspek taktikal.
“Tambahan pula terdapat kemungkinan liga akan bermula awal, saya rasa setiap jurulatih pasti mempunyai masa mencukupi dalam menyiapkan pasukan jika latihan secara penuh mendapat kebenaran.
“Daripada segi pengurusan, saya melihat latihan secara penuh ini juga membuka kembali keyakinan pihak di luar sana terutama kepada penaja terhadap kesinambungan Liga Malaysia walaupun aksi dalam tiap perlawanan nanti masih belum ada kehadiran penyokong, ” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Andrew Majanggim, turut senada dengan Asri agar latihan secara berkontak dapat dikembalikan namun dalam masa sama ingatkan semua pihak jangan terlalu ghairah sehingga mengabaikan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang akan ditetapkan dari masa ke semasa.
Tambahnya, sebagai salah satu rakan kongsi Liga Malaysia, beliau sememangnya mahukan latihan secara penuh tetapi tidak mahu sebarang kecuaian dalam mematuhi SOP boleh mengakibatkan peluang Liga Malaysia kembali bersambung boleh terjejas.
“Kita sememangnya kena melihat aspek ini lebih ke hadapan kerana pada waktu ini, kes-kes baharu sudah menurun dengan banyak selain sudah tiada kes kematian kebelakangan ini.
“Fakta sebegini sememangnya amat baik kepada industri bola sepak kita yang membuatkan KBS boleh berikan saranan sebegini (latihan secara kontak) cuma saya harap apabila perkara ini dapat kelulusan, kita kena teruskan dalam pematuhan SOP yang akan ditetapkan.
“Saya tidak mahu keghairahan segelintir pihak nanti akan membunuh peluang Liga Malaysia boleh bersambung pada tahun ini memandangkan penularan wabak ini masih belum berakhir sepenuhnya, dan setiap rakan kongsi liga, perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap pasukan masing-masing, ” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan melihat cadangan KBS adalah satu langkah tepat untuk mengembalikan ekonomi serta keharmonian sukan negara yang sedang berdepan krisis ekoran impak pandemik COVID-19 sejak awal Mac lalu.
Malah beliau percaya perkara ini menjadi satu isyarat baik di mana kementerian sukan negara sentiasa mengambil cakna terhadap situasi yang dialami industri sukan tanah air.