Pemain profesional e-sukan Malaysia, Luqman Hazi Hajiman menepati ramalan apabila mengungguli kedudukan teratas liga dalam Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) dengan permulaan baik..

Luqman yang mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah mengharungi tiga perlawanan awal untuk menang ke atas tiga pesaing yang mewakili pasukan FELDA United, Selangor dan UiTM FC.

Walaubagaimanapun, pemain yang pernah mencipta sejarah menjadi pemain negara pertama layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2019 ini bersaing rapat dengan dua lagi pemain yang turut sama memenangi tiga perlawanan iaitu Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa yang mewakili pasukan Perak dan Ahmad Shahrin Shaharudin bagi pasukan PDRM.

Muzaffar atau lebih dikenali sebagai Chamack dan Shahrin yang dikenali sebagai Ayen merupakan pencabar terdekat Luqman dan dijangka mampu untuk menyekat kemaraan pemain berusia 22 tahun itu dalam aksi seterusnya pada malam ini.

“Untuk perlawanan pertama, saya anggap cukup penting ketika menentang Bale (Mirza Mohammad Nabil Beg Mirza Mohammad Taiyab Beg) dan akhirnya menang.

“Cuma perlawanan agak mencabar sewaktu perlawanan kedua menentang Ismirza (Iskandar Mirza Mohd Mustafa) dari Selangor dan itu bukan corak permainan sebenar saya kerana banyak serangan tak menjadi.

“Apa-apa pun saya bersyukur dapat mata penuh untuk perlawanan malam ini dan saya dapat jangkakan perlawanan seterusnya akan bertambah sukar”, katanya.

Pencabar terdekatnya, Ayen tidak kurang hebat apabila memungut sembilan mata secara keseluruhan untuk berada di belakang Chamack pada kedudukan ketiga liga.

Namun, dia dijangka akan memberi persaingan sengit kepada Luqman pada malam ini bagi mencalar kemenangan bersih yang diraih oleh pemain yang mewakili pasukan JDT itu selain turut sama bakal berdepan Muhammad Akhmal Roslan (Uitm FC) dan Alif Dani Noor Badarrudin (Melaka).

“Agak bergelut juga nak menang dalam ketiga-tiga perlawanan itu, tetapi Alhamdulillah saya berjaya sapu bersih kesemua perlawanan.

“Cuma untuk perlawanan malam ini, saya akan pastikan tidak bolos dan menentang Luqman khususnya, saya harap dapat tewaskan dia kerana kami masing-masing masih kekal rekod bersih tanpa kalah,”katanya.

 

- Advertisement -