Jaguh badminton China, Lin Dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia badminton selepas mengumumkan persaraannya pada hari ini.

Juara Olimpik dua kali (2008 Beijing, 2012 London) ini sekaligus tidak akan mengambil bahagian di temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada Julai tahun depan.

Keputusan pemain berusia 36 tahun ini seakan akan mengikuti jejak seteru utama yang juga seorang rakan karib dan turut diangkat sebagai lagenda badminton dunia kelahiran Pulau Pinang, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraan sebagai pemain profesional pada Jun tahun lalu.

Lin Dan yang seringkali dikaitkan dengan nama ‘bad boy’ meraih 666 kemenangan dalam aksi perseorangan lelaki.

 

Selain meraih dua emas di Sukan Olimpik, lima gelaran juara dunia serta pernah menghuni tangga teratas ranking pemain menyaksika beliau digelar dengan ‘Super Dan’.

Bagi Lin Dan, ramai pihak termasuk keluarga dan barisan kejurulatihan sentiasa bersamanya samada ketika di puncak prestasi mahupun ketika dalam kesusahan.

Kemuncak prestasinya semakin menurun selepas dibelenggu kecederaan terutama pada tahun lalu sekaligus merencatkan misinya untuk beraksi di Olimpik Tokyo 2020.

Dengan kedudukan semasa ke 19 dunia, ia tampak sukar buat Lin Dan untuk bersaing bagi merebut slot secara merit ditambah dua rakan senegara Shi Yu Qi dan Cheng Long berada di 10 terbaik dunia.

Penundaan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun depan menyukarkan lagi misi Lin Dan sekaligus cuba meraih emas ketiganya.

 

Seperti yang pernah dilalui oleh Lee Chong Wei, Lin Dan berdepan kesukaran untuk mengekalkan kecergasan dan keadaan fizikalnya sebagai ‘pemain tua’ tampak bukan sesuatu yang mudah untuknya bersaing dengan pemain pemain yang lebih muda termasuklah rakan senegaranya.

Pastinya ramai yang akan merindui detik detik manis ketika Lin Dan dan Chong Wei bertarung di gelanggang terutama di pentas Olimpik 2008, 2012 dan 2016 yang pastinya menjanjikan debaran dan membuatkan peminat badminton dunia tidak senang duduk.

Terima Kasih LIN DAN!!

 

- Advertisement -