Pemain hoki remaja negara, Muhd Amirul Hamizan Azahar menyifatkan ketiadaan sukan hoki di pentas Sukan SEA 2021 di Vietnam ibarat satu kerugian untuk Malaysia.
Bukan sahaja kehilangan pingat emas yang sentiasa diberikan oleh skuad hoki negara, tetapi pembangunan untuk pemain pemain pelapis skuad kebangsaan bakal terhalang andai hoki tidak disenaraikan di dalam sukan SEA.
“Untuk pembangunan sudah tentu ia merugikan kerana hoki tidak dipertandingkan tetapi jika dipertandingkan, kami akan memperoleh pengalaman di temasya itu,”kata Amirul.
Malaysia cemerlang dalam menyumbang pingat emas dalam sukan hoki di pentas sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun terpaksa akur selepas tidak dipertandingkan di Sukan SEA Filipina pada 2019 dan sekali lagi kecewa susulan keputusan awal tuan rumah edisi ke 31, Vietnam untuk mengetepikan sukan itu bagi penganjuran 2021.
Sukan SEA 2021 – Tiga sukan ’emas’ negara tiada dalam senarai awal
Pemain hoki senior negara, Marhan Abd Jalil akur dengan keputusan Vietnam untuk tidak meletakkan hoki dalam senarai 36 sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2021.
“Sayang untuk Malaysia kerana kami yakin untuk mendapatkan pingat emas tetapi keputusan telah dibuat oleh tuan rumah dan kita perlu terima.
Penganjur Sukan SEA edisi ke 31, Vietnam setakat ini memutuskan untuk menganjurkan 36 jenis sukan sahaja susulan pandemik Covid 19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara negara ASEAN ketika ini.
Kesemua 36 sukan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana mesyuarat kedua yang dijangka berlangsung pada 21 Julai dimana negara negara peserta perlu menyenaraikan sukan sukan pilihan mereka dan mengemukakannya atau membuat rayuan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Vietnam.