Selepas cemerlang dalam saingan Divisyen 2, Leong Jun Hao mempamer aksi mantap pada hari pertama kejohanan badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kelibat pemain berusia 21 tahun ini mencuri tumpuan di Akademi Badminton Malaysia pada perlawanan sesi pagi apabila bangkit daripada kekalahan di set pertama sekaligus menang ke atas pemain yang lebih berpengalaman, Liew Darren 15-21, 21-14, 21-16 selepas bertarung lebih satu jam.

“Perlawanan pertama memang saya sudah jangka perlawanan sengit tetapi saya sudah bersedia untuk berdepan dengannya.

“Saya tidak fikir banyak, hanya cuba buat yang terbaik di setiap perlawanan. Sasaran saya adalah untuk berada di kedudukan empat terbaik dan sudah tentu kemenangan ini memberi suntikan semangat untuk meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya,” kata Jun Hao.

Seorang lagi pemain muda, Ng Tze Yong turut mencuri tumpuan pada hari pertama selepas mengejutkan Soong Joo Ven dengan kemenangan straight set 21-18, 21-12.

Pemain yang diletak selaku pilihan utama, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran naib juara Divisyen 2, Lim Chong King dengan kemenagan straight set 21-14, 21-9

Saingan perseorangan wanita tidak memperlihatkan sebarang kejutan apabila Sonia Cheah menepati ramalan melakar kemenangan dalam aksi pembukaan selepas mudah mengatasi cabaran K Letshana 21-13, 21-11.

“Saya terkejut dengan permainan dan prestasi yang ditujukkan oleh Letshana. Tiada beza diantara kami dalam perseorangan wanita kerana kami berlatih bersama sama dibawah jurulatih yang sama,” kata Sonia.

Satu lagi aksi perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan turut melakar kemenangan straight set 21-5, 21-9 ke atas Lee Ying Ying.

Dalam pada itu, malang buat pemain bergu campuran, Goh Soon Huat apabila mengalami kecederaan otot belakang ketika bergandingan dengan Shevon Lai Jamie menentang Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.

Kecederaan berlaku di set kedua ketika Soon Huat-Shevon Lai ketinggalan 4-6 selepas menang 21-13 di set pertama.

Soon Huat berhenti bermain selepas melakukan ‘overhead cross court’ smash dan mengadu mengalami kesakitan dibahagian otot belakang.

“Dia sudah mengalami kecederaan ketika sesi latihan pada Isnin dan menjalani proses pemulihan. Hari ini ia nampak serius kerana dia (Goh Soon Huat) tidak mampu untuk berjalan.

“Sudah tentu kecewa kerana terpaksa berhenti setakat ini kerana kami telah melakukan persiapan untuk kejohanan ini tetapi kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku,” kata Shevon.

Shevon turut menambah pemeriksaan lanjut akan dilakukan oleh doktor dan jurulatih untuk mengetahui kecederaan yang dialami oleh Soon Huat.

Gandingan profesional Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan selepas menundukkan Chen Tang Jie/Peck Yen Wei straight set 21-18, 21-16.

Begitu juga dengan Tan Kian Meng – Lai Pei Jing  yang turut mencatat kemenangan straight set ke atas pasangan Chen Tang Jie – Peck Yen Wei.

Aksi bergu  lelaki menyaksikan Aaron Chia – Soh Wooi Yik mendominasi kumpulan A selepas mencatat dua kemenangan pada har ini.

Aaron dan Wooi Yik menang straight set ke atas Ooi Jhy Dar – Yap Roy King 21-11, 21-16 di sebelah pagi sebelum melakar kemenangan kedua, menewaskan Choong Hon Jian – Loo Bing Kun.

Lain pula situasi melibatkan kumpulan B apabila Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengalami kekalahan mengejut.

Pemenang pingat Perak sukan Olimpik ini menewaskan Chen Tang Jie-Nurfirdaus Azman straight set 21-8, 21-19 pada perlawanan sesi pagi, namun dikejutkan dengan gandingan yang labih muda Chang Yee Jun – Chia Wei Jie dalam pertarungan tiga set  21-16, 12-21, 21-23.

“Kami tidak memikirkan tentang menang atau kalah. Kami hanya fokus pada perlawanan dan mengikuti apa yang telah diberikan oleh jurulatih.

“Kami harap dapat memberikan cabaran kepada pemain pemain lain dan akan berikan yang terbaik,” kata Wei Jie.

Kejohanan Badminton Jemputan BAM 2020 merupakan kejohanan anjuran BAM selepas empat bulan tanpa sebarang pertandingan kompetitif susulan pandemic Covid 19 yang akan berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kejohanan berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara secara tertutup tanpa kehadiran penyokong menggunakan format pertandingan ‘round robin’ dijalankan secara tertutup dan dibahagi kepada dua peringkat.

Bagi peringkat 1, pertandingan telah berlangsung dari 5 – 7 Ogos lalu melibatkan enam pemain simpanan yang akan bersaing merebut dua kelompok teratas sekaligus bakal beraksi di divisyen utama.

Divisyen 1 pula bermula dari 12 – 16 Ogos dibahagi kepada lima kategori dan akan disertai 52 pemain senior termasuk lapan pemain profesional.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN – SETAKAT JAM 5.30 PETANG

PERSEORANGAN LELAKI

Leong Jun HaoLiew Daren (15-21 21-14 21-16)

Ng Tze YongSoong Joo Ven (21-18 21-12)

Cheam June Wei – Aidil Soleh Ali Sadikin (21-18 21-16)

Lee Zii Jia – Lim Chong Kim – 21-14, 21-9

 

PERSEORANGAN WANITA

Eoon Qi Xuan – Lee Ying Ying (21-15 21-9)

Sonia Cheah – K Letshana (21-13 21-11)

 

BERGU LELAKI

KUMPULAN A

Aaron Chia/Soh Wooi Yik – Ooi Jhy Dar/Yap Roy King (21-11 21-16)

Ong Yew Sin/Teo Ee Yi – Choong Hon Jian/Loo Bing Kun (21-16 21-16)

 

KUMPULAN B

Goh V Shem/Tan Wee Kiong – Chen Tang Jie/Nurfirdaus Azman (21-8 21-19)

Chang Yee Jun/Chia Wei Jie – Goh V Shem/Tan Wee Kiong – (16-21, 21-12, 23-21)

 

BERGU WANITA

Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean – Anna Cheong Ching Yik/Toh Ee Wei (21-16 21-11)

Pearly Tan Koong Le/M Thinaah – Teoh Mei Xing/Yap Ling (21-12 22-20)

 

BERGU CAMPURAN

Chan Peng Soon/Goh Liu Ying – Chen Tang Jie/Peck Yen Wei (21-18 21-16)

Goh Soon Huat/Shevon Lai Jamie – Hoo Pang Ron/Cheah Yee See (21-13, 4-6 (retired)

Tan Kian Meng/Lai Pei Jing – Chen Tang Jie/Peck Yen Wei (23-21, 21-16)

- Advertisement -