#Astro Arena membawakan STL Premier League dan STL Champions Cup buat penonton
Setelah Sepak Takraw League (STL) Divisyen 1 berakhir kini saingan Premier akan membuka tirai pada Jumaat ini di Astro Arena 802HD dan juga di platform digital (Stadium Astro, Astro Go dan YouTube Astro Arena).
STL Champions Cup pula akan menyusul kemudian membabitkan enam pasukan teratas dari Premier dan dua pasukan teratas dari Divisyen 1.
STL berbesar hati mengumumkan penajaan terbaru daripada syarikat pengeluar minyak enjin terbesar dan terkenal dari Jepun, Idemitsu buat pertama kali tampil sebagai penaja rasmi minyak pelincir STL 2020 dan pasukan ATM Guardians dipilih sebagai pasukan pilihan tajaan musim ini.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay menganggap penajaan dan inisiatif Idemitsu untuk bersama-sama menaikkan lagi taraf mutu sukan sepaktakraw telah merancakkan lagi industri sukan tanahair.
“Kami berbesar hati mengumumkan penajaan dan koloborasi bersama syarikat Idemitsu Lube Malaysia yang pertama kali memilih sukan sepak takraw untuk tajaan mereka selain sukan permotoran sebelum ini.
“Ini adalah pengiktirafan buat kami atas sokongan dan komitmen yang diberikan. Di harap lebih banyak badan-badan korporat tampil memberi sokongan dalam perkembangan dan kemajuan sukan tradisi ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Idemitsu Lube Malaysia, Shin Obata percaya dengan potensi STL dan sukan sepaktakraw yang semakin mendapat tempat dihati peminat bukan hanya di Asia Tenggara malah hingga ke peringkat global.
“Kami gembira dengan komitmen bersama STL dalam usaha mempromosikan lagi sukan ini dan berharap dapat memperkukuhkan lagi jenama kami dalam pasaran tempatan dan antarabangsa selepas ini.
“Selain itu, kami telah memilih pasukan ATM Guardians sebagai pasukan pilihan tajaan musim ini kerana kami percaya pasukan Angkatan Tentera Malaysia bertugas menjaga keamanan negara bertepatan dengan peranan dan fungsi kami sebagai pengeluar minyak pelincir yang menjaga enjin kenderaan anda,” katanya.
Idemitsu akan memberi diskaun dan barangan eksklusif mereka untuk peminat STL yang bertuah melalui kod promo yang akan di siarkan di laman sosial media STL nanti.
STL telah memulakan saingan STL Divisyen 1 menyaksikan Bomba Fighters muncul juara pada musim ini.
STL Premier akan bermula pada 18 September ini di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dan STL Champions Cup pula bakal diadakan di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru bermula 23 November nanti.