#Ikuti Aksi Terulung STL 2020 Di Semua Platform Astro Arena
Aksi mendebarkan Sepak Takraw League 2020 kembali biarpun tanpa sorakan dan tepukan gemuruh penonton berikutan penuran wabak Covid-19.
Walau bagaimanapun, STL tetap menjanjikan kemeriahan saingan yang dinantikan peminat yang boleh menyaksikannya di Astro Arena 802HD dan platfom digital.
Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur menjadi medan baru pertarungan bermula dengan persaingan STL Divisyen 1 pada 8 September lalu dan STL Premier League pada 18 September.
Sementara itu, STL Champions Cup pula bakal diadakan di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru selama 10 hari bermula 23 November nanti.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican berkata, STL kini menjadi antara acara sukan yang sentiasa dinanti-nantikan peminat setiap musim.
Kehangatan STL bukan hanya mula menggamit perhatian peminat sukan tempatan malah peminat dari luar negara.
“Kerjasama strategik Astro bersama PSM sejak tujuh tahun lalu telah berjaya membawa kebangkitan semula sepaktakraw di kalangan anak muda tempatan.
Penyiaran secara langsung STL memberi nafas baru kepada sukan ini ditambah dengan corak permainan yang hebat telah menarik minat peminat dari luar negara menonton sepaktakraw dan trending di media sosial.
“Dengan adanya liga kompetitif seperti ini membuka peluang terbaik buat pemain muda tempatan membuktikan kemampuan dan melahirkan lebih ramai jaguh yang mencapai standard pemain kebangsaaan,”katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, tanpa kehadiran penonton saingan tetap mendebarkan dengan perancangan hebat setiap pasukan dengan melakukan rombakan besar-besaran pemain dari 10 pasukan premier yang akan bertanding.
“Jika sebelum ini tumpuan terarah kepada Penang Black Panthers tetapi pada musim lalu Perak Bison berjaya memecah dominasi mereka menjadi juara STL Premier. Saya percaya setiap pasukan ada perancangan sendiri dimana musim ini tiada kelibat pemain import seperti tahun lalu. Inilah masa untuk mereka membuktikan kemampuan jika ingin mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan.”
“Selain itu, Kehadiran semula tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi yang akan bersama pasukan KL Thunder pasti menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan oleh peminat takraw tempatan.” Katanya.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay pula berkata, semua peminat boleh menyaksikan STL dirumah bersama keluarga di Astro Arena 802HD dan platform digital Astro Go, Stadium Astro dan Arena YouTube.
“Kita ingin membawa STL menjelajah seperti musim lalu dan menjemput pasukan jemputan dari negara serantau untuk STL Champions Cup nanti, namun kita terpaksa akur dengan penularan pandemik yang melanda ketika ini.
“Saya berharap semua pemain menunjukan disiplin diri yang tinggi dan mengikut SOP di gelanggang mahupun diluar gelanggang.”
“Saya percaya usaha keras Astro dan PSM telah berjaya menaik taraf dan martabat sepaktakraw melalui STL sehingga menjadi buah mulut pencinta sukan dalam dan luar negara. Bukan saja mendapat perhatian dari negara jiran malah STL turut mendapat liputan meluas daripada media eropah seperti Norway, juga termasuk media sosial antarabangsa yang berkongsi video aksi-aksi menarik STL sehingga memasyhurkan sukan sepaktakraw di mata dunia.
“STL pada musim lalu berjaya mencatat jumlah tertinggi 6 juta penonton, sementara rekod pendigitalan pula mencatat 6 juta tontonan di laman web Stadium Astro.”katanya.
Lee turut berterima kasih kepada rakan penaja STL iaitu Li-Ning yang terus memberi sokongan sebagai Penaja Pakaian Rasmi STL dan syarikat minyak pelincir dari Jepun, Idemitsu Lube Malaysia buat pertama kali terlibat dalam sukan sepaktakraw selain sukan permotoran sebelum ini.
STL juga meneruskan jalinan kerjasama bersama Sinar Harian sebagai Media Cetak Rasmi untuk tahun kedua sementara Zayan FM dan Gegar FM sebagai Radio Rasmi STL 2020.
Aplikasi hiburan dan gaya hidup baharu SYOK pula kekal sebagai Rakan Siaran Kandungan STL 2020.
STL 2020 merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup – sebanyak 10 pasukan akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan lapan pasukan di STL Divisyen 1, manakala STL Champions Cup menghimpunkan enam pasukan teratas dari Premier dan dua pasukan teratas dari Divisyen 1, Bomba Fighter yang menjadi juara dan Putajaya Cyborg di tempat kedua.