SELANGOR mengukuhkan kedudukan untuk mara ke pusingan seterusnya apabila mengetepikan Pulau Pinang 3-0 bagi kemenangan kedua dalam saingan Wanita TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 di Stadium Hoki Nasional pagi ini. 

Dalam pertembungan Kumpulan A itu, penjaring terbanyak Selangor Fatin Naimah Zaki (3 gol)  menambah satu lagi jaringan peribadi selepas meledak gol pada minit ke-39 untuk membantu kemenangan skuad itu. 

Selangor, yang membenam Terengganu 8-0 pada perlawanan pembukaan semalam, nyata garang dengan membuka jaringan hanya dua minit selepas wisel permulaan menerusi Fatin Syafikah Madh Sukri. Raja Norshahrina memastikan kemenangan Selangor menerusi jaringan pada minit ke-49 untuk membolehkan skuad itu menghuni tangga teratas Kumpulan A dengan 6 mata penuh.

Dalam pada itu, Perak meraih kemengan tipis 2-1 ke atas Terengganu untuk membuka laluan ke pusingan seterusnya.  Jaringan Nurafwani Mohd Shukri pada minit ke-22, Dian Nursyakira Al-Wadya Nazeri (min 32) dan Nurul Farawahida Marzuki (min-39) sudah cukup buat Perak menebus kekalahan pada perlawanan pembukaan semalam. 

Perak dan Pulau Pinang masing-masing kini terikat dengan 3 mata dalam Kumpulan A dan perlu memastikan kemenangan pada perlawanan seterusnya untuk memastikan tiket ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, PDRM melengkapkan saingan hari kedua dengan menduduki tangga teratas Kumpulan C selepas menewaskan ATM 2-0. 

Dua gol yang dijaringkan masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua menerusi pukulan sudut pendek Norhasikin Halim pada minit ke-5 dan Fazilla Silvester Silin (min ke-56) sudah cukup meletakkan PDRM pada kedudukan selesa. 

 

KEPUTUSAN (WANITA) SABTU, 19 SEPT

Selangor mln Pulau Pinang 3-0

Perak mln Terengganu 2-1
PDRM mln ATM 2-0 

JADUAL PERLAWANAN HARI KETIGA (WANITA) AHAD, 20 SEPT 2020

 

KUMPULAN B

Pahang mln Kuala Lumpur

Sarawak mln Melaka

 

KUMPULAN C

ATM mln Negeri Sembilan

- Advertisement -