B. Sathianathan mengesahkan beliau tidak akan mengemudi pasukan Selangor untuk mengharungi baki saingan Liga Super Musim 2020.
Bekas pengendali Selangor itu memaklumkan situasinya secara eksklusif ketika ditemu bual di dalam slot Bola @ Mamak di Astro Arena.
Spekulasi melibatkan masa depan jurulatih berusia 62 tahun itu mula bertiup kencang selepas Selangor tumpas terus 1-6 kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) minggu lalu.
“Saya tidak menggunakan pakai istilah ‘direhatkan’. Saya seorang yang profesional dan kontrak saya ditamatkan berkuat kuasa serta merta. Dia (Persatuan Bolasepak Selangor) akan membayar pampasan kepada saya,” kata Sathianathan.
Sathia sudah mula menghidu ‘masa depannya’ bersama The Red Giants sebelum pertemuan dengan JDT menerusi media sosial dan media massa.
Jelas Sathia lagi, pertemuan telah pun diadakan dengan Presiden FAS yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penamatan kontraknya bersama pasukan itu.
Beliau menggalas tugas selaku pengendali Selangor pada penghujung 2018 selepas berjaya membawa Felda United muncul juara Liga Premier pada tahun itu.