PERTEMBUNGAN kemuncak TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 (Lelaki) pada Sabtu ini menjanjikan aksi menarik dengan pertemuan dua bekas juara Terengganu dan Perak yang berjaya ke perlawanan akhir edisi ke-58 selepas mengatasi lawan masing-masing di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. 

Yang pasti, pertembungan Terengganu-Perak itu merupakan ulangan perlawanan akhir membabitkan kedua-dua pasukan pada 2017 dan 2018. Perak mengatasi Terengganu pada kedua-dua pertemuan itu. 

Terengganu diberi tentangan sengit sebelum berjaya membenam Pahang 4-3 manakala Perak menempah tiket ke akhir buat kali ke-10 selepas menumpaskan Kuala Lumpur dengan jaringan sama 4-3. 

Bagi Terengganu, kejayaan mara ke final keempat mereka dalam tempoh lapan tahun sejak 2012 memang sesuatu yang manis. Terenggganu muncul juara dua kali pada 2012 dengan menewaskan Pahang) dan 2016 (mengatasi PDRM). 

Gandingan dua beradik Mohd Fitri Saari  dan Mohd Faizal Saari nyata menjadi dengan masing-masing meledak dua gol dengan Mohd Faizal kini muncul sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah 16 gol. 

Menentang Pahang, Terengganu nyata diberikan tentangan sengit dan tersentak seawal minit ke-3 apabila Mohammad Noor Firdaus merobek gawang utnuk mendahului 1-0 buat Pahang. 

Tetapi, Terengganu bertindak cepat menyamakan kedudukan menerusi dua gol berturut-turut Mohd Fitri pada minit ke-5 dan ke-6 untuk meletakkan Terengganu kembali di depan. 

Pada suku kedua, Terengganu mengukuhkan kedudukan 3-1 menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari. Ketika Terengganu nampak selesa, Pahang kembali bertindak merapatkan jurang dengan jaringan sudut penalti Muhammad Idris Samad pada minit ke-57. 

Begitu pun, Faizal Saari kembali melebarkan jurang dengan gol keempat pada  minit ke-20 sebelum Pahang melancarkan serangan bertali arus pada tiga minit terakhir.  Muhammad Idris berjaya meledak gol kedua Pahang pada minit terakhir tetapi Terengganu bertahan hingga ke akhir untuk memastikan tempat di perlawanan akhir. 

Jurulatih Terengganu Tai Beng Hai puas hati dengan kejayaan anak buahnya biarpun berdepan tekanan dari Pahang pada lima minit terakhir permainan.  “Pemain tahu apa yang diperlu dilakukan untuk menyerap tekanan lawan. Kami akan turun berhabis-habisan pada perlawanan akhir menang Perak nanti, “ kata Beng Hai. 

Pertembungan antara dua juara lepas, Perak dan Kuala Lumpur nyata sengit dengan juara 9 Perak kali akhirnya mengatasi Kuala Lumpur 4-3 selepas menguasai tiga suku pertama permainan.

Jaringan padang awal Arif Sabron pada minit ke-11 diikuti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal enam minit selepas itu melegakan Perak. Namun  dua gol dari Muhammad Shahril Saabah pada minit 19 dan 45 serta Harvinder Singh (min 54) menghidupkan harapan Kuala Lumpur. 

Jaringan keempat Zulhamizan Awang memberikan kelegaan buat Perak untuk kekal sehingga wisel penamat. 

Jurulatih Perak, Roslan Jamaluddin lega dengan keputusan berkenaan selepas diberi tekanan hebat oleh Kuala Lumpur pada suku keempat permainan: “Pasukan lawan bangkit pada saat akhir untuk merapatkan jurang pada saat akhir tetapi saya lega pemain tidak hilang fokus dan bermain mengikut percaturan.”

Mengenai pertemuan akhir menentang Terengganu, Roslan berkata: “Kami hormati Terengganu sebagai bekas juara dan pernah bertemu di perlawanan akhir dua kali sebelum ini. Kali ini, pertemuan pasti lebih sengit terutama dengan kehadiran ramai pemain nasional dalam skuad.”

 

KEPUTUSAN PENUH (23 Sept)

SEPARUH AKHIR 

Terengganu 4

(Mohd Fitri Saari min ke-5, 6; Faizal Saari min ke-20, 59)

Pahang 3

(Muhammad Noor Firdaus Rosdi min ke-3; Muhammad Idris Samad min 57, ke-59)

Perak 4

(Arif Sabron min-11; Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal min 17; Syed Mohd Syafiq Syed Cholan min 24; Mohamad Zulhamizan Awang Abas min 34)

Kuala Lumpur 3

(Muhammad Shahril Saabah min-19, min 45 (penalti); Harvinder Singh Makbul min 54)

PERLAWANAN AKHIR (LELAKI) SABTU, 26 SEPT

Terengganu mln Perak (8.30 malam)

 

KEPUTUSAN KLASIFIKASI (LELAKI)

Klasifikasi 13-15:                  Kedah 2 Kelantan 1

Klasifikasi 7-8:                        PDRM 1 Melaka 0

Klasifikasi 5-6:                        Perlis 3 Sabah 0 

- Advertisement -