Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) tampak sedang berdepan pergolakan dalaman apabila wujud rasa tidak puas hati dikalangan ahli gabungan badan induk gimnastik negara itu.
Tujuh ahli gabungan mahu Presiden MGF, Rachel Lau melepaskan jawatannya selepas menyatakan pendirian hilang kepercayan terhadap beliau.
Pulau Pinang, Selangor, Perak, Negri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Terengganu merupakan tujuh daripada 11 ahli gabungan yang menyatakan pendirian mereka untuk diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) selepas menghantar surat yang telah ditandatangani kepada Setiausaha Kehormat MGF Afriany Nasril.
Tujuh negeri tersebut mendakwa Rachel telah membelakangkan Jawatankuasa lembaga Tadbir MGF dalam membuat keputusan termasuk isu melibatkan salah guna kuasa sekaligus wujud rasa kurang senang diatas kegagalan urustadbir MGF dengan efektif.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berkemungkinan akan diadakan pada bila bila masa namun sebelum bulan Mac tahun depan.
Justeru, tujuh ahli gabungan ini berharap AGM dapat diadakan lebih awal.
Sabah dan Johor masih menyatakan pendirian untuk menyokong kepimpinan semasa manakala Wilayah Persekutuan dan Kedah memilih untuk mengambil pendekatan berkecuali.
Rachel dipilih sebagai presiden MGF bagi penggal 2019-2021 pada Februari tahun lalu, selepas menang tanpa bertanding selepas penyandang Datuk Jaya Al Bakri tidak mempertahankan jawatan tersebut.