Juara dunia Moto GP tujuh kali, Valentino Rossi terpaksa melupakan perlumbaan GP Aragon di Sepanyol minggu ini dan 25 Oktober depan selepas disahkan positif jangkitan Covid 19 selepas ujian  ‘polymerase chain reaction’ (PCR) kali kedua dilakukan pada Khamis.

Pelumba berusia 41 tahun yang akan menyertai Petronas Sepang Racing (SRT)  dalam kenyataan di laman sosial juga menceritakan tentang kesihatan semasa sebelum memutuskan untuk menjalani ujian Covid 19.

“Malangnya, pagi (Khamis) ini saya bangun dan berasa tidak sihat… Tulang saya berasa sakit dan sedikit demam, jadi saya segera menghubungi doktor yang melakukan dua ujian ke atas saya. Keputusan ujian PCR adalah negatif, sama seperti ujian yang dilakukan pada Selasa.

“Tetapi, ujian kedua yang dihantar pada 4 petang ini adalah positif. Saya kecewa kerana akan terlepas perlumbaan di Aragon. Saya mahu bersikap optimistik dan yakin, tetapi saya jangka pusingan kedua di Aragon juga harus saya lupakan.

“Saya sedih dan marah kerana telah melakukan yang terbaik untuk menghormati protokol dan walaupun ujian pada Selasa adalah negatif, saya mengasingkan diri sejak tiba dari le Mans… Apa pun, saya tidak dapat lakukan apa-apa untuk mengubah keadaan. Saya akan mengikuti nasihat perubatan dan berharap cepat sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing dan Monster Energy Yamaha MotoGP, Lin Jarvis mengesahkan Rossi tidak ada kontak dengan mana-mana individu yang kini berada di GP Aragon.

 

- Advertisement -