Kejohanan Terjun Antarabangsa 2020 secara dalam talian yang berlangsung hari ini menyaksikan penerjun negara ungguli 2 daripada 4 acara akhir yang dipertandingkan.

Ooi Tze Liang mengungguli acara 3 meter papan anjal selepas mengumpul mata keseluruhan tertinggi, 408.05 mata, menewaskan rakan senegara, Chew Yiwei yang berpuas hati di tangga kedua dengan 365.60 mata sementara penerjun dari Jepun, Reo Sakata melengkapkan podium untuk berada di tangga ketiga dengan 342.10 mata.

“Persembahan saya agak sederhana sebab berlaku sikit kesilapan tapi secara keseluruhan memuaskan. Dalam keadaan COVID-19 masih perlu diawasi, idea pelaksanaan kejohanan dalam talian ini agak bagus untuk pastikan atlet sentiasa merasai mood kejohanan,” kata penerjun berusia 27 tahun itu.

Gandingan ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri / Ng Yan Yee nyata tidak mengecewakan apabila mendominasi acara 3 meter papan anjal seirama wanita dengan catatan mata keseluruhan, 298.98 menewaskan duo dari Australia, Zara Tullipan-Milly Puckeridge yang mengumpul 239.43 mata.

Manakala satu lagi gandingan dari Australia, Harriet Kaan-Ellie Cole menduduki tempat ketiga dengan 219.15 mata.

“Saya gembira dan pada masa sama gementar sebab dah lama tidak bertanding. Sejujurnya saya sangat berpuas hati dengan terjunan hari ini. Kejohanan ini juga beri satu pengalaman baharu…sangat-sangat sunyi tetapi yang bagusnya kami ada rakan sepasukan yang memberikan sokongan,” katanya.

Kejohanan ini melibatkan penyertaan daripada lima buah negara – Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Jepun, berlangsung selama dua hari dan mempertandingkan 8 acara yang turut dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Kejohanan anjuran Persekutuan Renang Malaysia ini juga adalah satu pentas buat skuad terjun negara untuk mengukur kemampuan mereka dan sebagai langkah bagi memastikan skuad terjun negara kekal kompetitif.

Kejohanan ini disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN).

 

 

 

 

- Advertisement -