Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis modul gelembung yang diperkenalkan akan mengembalikan kerancakkan industri sukan di negara ini pada tahun depan.
Sukan di negara suram dan lumpuh sejak pertengahan Mac susulan penularan wabak Covid 19 memaksa acara dalam dan luar negara yang melibatkan atlet dan pasukan negara terpaksa dibatalkan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjelaskan kementerian memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) tidak diabaikan jika kerajaan bersetuju membenarkan beberapa acara sukan itu diadakan.
Pelbagai pandangan dan kemungkinan diteliti KBS sebelum kebenaran untuk menganjurkan acara sukan diberikan.
Paling penting, untuk memastikan komuniti sukan khususnya menerima norma baharu ini terutama ruang buat penonton untuk memasuki venue venue bagi sesetengah sukan.
Model gelembung sukan yang akan diperkenalkan oleh KBS awal Januari depan ialah dengan penganjuran acara sukan permotoran percubaan di Litar Antarabangsa Sepang apabila pasukan MotoGP dari luar negara akan datang melakukan percubaan di litar tersebut.
Beliau berkata menerusi model gelembung sukan itu, penunggang tidak boleh keluar dari kawasan tersebut selain jumlah kehadiran penonton juga terhad.
“Penganjuran percubaan MotoGP itu merupakan satu eksperimen sebelum dijalankan terhadap acara sukan lain dan kita mahu melihat bagaimana rakyat dapat mengadaptasi kelaziman baharu melalui sukan,” katanya kepada Bernama.