Gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) selepas membolot lima daripada 10 anugerah yang dipertandingkan.
Penjaga gol, Farizal Marlias dipilih untuk menerima anugerah penjaga gol terbaik buat kali kelima selepas memenanginya pada 2009, 2015, 2018 dan 2019.
Aidil Zafuan Abdul Radzak pula dinobat sebagai pemenang anugerah pemain pertahanan ABK 2020. Ini merupakan trofi keempat selepas meraih gelaran sama pada 2009, 2010 dan 2012.
Pemain sayap JDT, Muhammad Safawi Rasid pula menepati ramalan untuk mengungguli kategori pemain tengah terbaik buat kali kedua selepas 2018.
Skuad Harimau Selatan yang muncul juara Liga Super musim 2020 turut mempertahankan anugerah pasukan terbaik buat kali ketiga berturut-turut selepas 2018 dan 2019.
Malah, pengendalinya, Benjamin Mora dipilih sebagai jurulatih terbaik.
Buat julung kalinya, ABK20 diadakan secara maya (virtual) dan disiarkan secara langsung dari ibu pejabat MFL di Kelana Jaya di sini malam ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan susulan penularan pandemik COVID-19.
Perak mencuri dua anugerah menerusi penyerangnya Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang meraih anugerah penyerang terbaik dan penjaring terbanyak Liga Super (pemain tempatan) setelah meledak 10 gol.
Penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi dari Nigeria, turut meraih dua anugerah iaitu anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) selain anugerah penjaring terbanyak Liga Super menerusi ledakan 12 gol yang dilakar pada musim ini.
Penyerang muda Selangor 2 Ahmad Danial Ahmad Asri pula diumumkan selaku penerima anugerah penjaring terbanyak Liga Premier (pemain tempatan) setelah mengumpul tujuh gol, manakala gelaran penjaring terbanyak Liga Premier menjadi milik penyerang import Pulau Pinang, Casagrande dari Brazil yang meledakkan sembilan gol.
Pemilihan pemenang ABK20 diputuskan menerusi 70 peratus markah daripada juri profesional serta 30 peratus daripada penyokong.
Senarai pemenang ABK20:
Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)
Pemain Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT)
Pemain Tengah Terbaik: Muhammad Safawi Rasid (JDT)
Penyerang Terbaik: Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak)
Anugerah Kasut Emas: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor) 12 gol
Penjaring Terbanyak Liga Super: Ifedayo Olusegun Omosuyi (Selangor) 12 gol
Penjaring Terbanyak Liga Super (Pemain Tempatan): Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak) 10 gol
Penjaring Terbanyak Liga Premier: Casagrande (Pulau Pinang) sembilan gol
Penjaring Terbanyak Liga Premier (Pemain Tempatan): Ahmad Danial Ahmad Asri (Selangor 2) tujuh gol
Pasukan Terbaik: JDT
Pemain Paling Bernilai (MVP): penyokong bola sepak Liga Malaysia (pemain ke-12)