Pasukan hoki kebangsaan kini telah beralih ke latihan atas talian berikutan penagguhan Liga Hoki Malaysia 2021 (MHL) susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu.
Pengerusi jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, berikutan perkembangan terbaru, kaedah atas talian lebih digemari daripada latihan berasaskan kuarantin di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
Tambahnya, persetujuan untuk tidak menempatkan pemain di MSN atas alasan sekatan dan batasan yang ketat diperoleh setelah perbincangan menyeluruh dengan jurulatih, ahli jawatankuasa, staf sokongan serta presiden, Datuk Seri Subhan Kamal.
Oleh itu, Katanya kepada Bernama, untuk dua minggu akan datang, pemain akan menjalani program latihan atas talian yang disedia dan dipantau oleh jurulatih masing-masing dan tindakan selanjutnya akan diputuskan dengan pengumuman lanjut Kerajaan.
Tiga jurulatih kebangsaan—A. Arul Selvaraj (Pasukan Lelaki), Nasihin Nubli Ibrahim (Skuad Projek Wanita) dan Wallace Tan (Pasukan Muda, Lelaki)—telah menyampaikan program latihan mereka kepada jawatankuasa baru-baru ini.
Akhir bulan lalu, MHC telah melepaskan pemain dari Speedy Tigers, Malaysian Tigress dan Skuad Projek Lelaki ke kelab masing-masing menjelang MHL yang dijadualkan minggu ini, bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Anil Jeet Singh mengesahkan liga telah ditangguhkan dan dijangka akan berlangsung sekitar bulan Julai atau Ogos. – Oleh Siti Zafirah Kamal