Padah menamatkan kontrak lebih awal, penjaga gol kelahiran Vietnam, Dang Van Lam bakal berdepan tuntutan mahkamah apabila bekas kelabnya Muangthong United memfailkan tuntutan tersebut keatasnya.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif kelab dari Thailand itu, Ronnarit Suwacha kepada Siamsport, sebelum ini, pihaknya telah mengirim peringatan dan masa untuk berunding semula kontraknya. Namun, agen Lam, Andrey Grushin tidak mengendahkannya dan membatalkan kontrak tanpa persetujuan kelab tersebut.

Tambahnya, kelab itu tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang dengan menyerahkan kes ini kepada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) dan FIFA setelah memberi masa yang secukupnya.

Sebelum ini, Grushin mendedahkan Muangthong telah melangar kontrak dengan tidak membayar gaji Lam dan pembatalan kontrak adalah mengikut peraturan FIFA. 

Namun, Muangthong menepis dakwaan itu. Ronnarit menjelaskan, Lam sebenarnya tidak berpuas hati setelah diturunkan kepada penjaga gol kedua dan kelab itu turut memberi peluang kepadanya untuk mencari kelab baru temasuk menghubungi Cerezo Osaka. Namun, kontrak Lam belum ditamatkan.

Tegasnya lagi, kelab tersebut telah membanyar Lam sepenuhnya sehingga Februari tahun lepas sebelum wabak Covid-19 mula menular dan menjelaskan bahawa kelab itu hanya memotong 30 peratus gaji pemain semasa penularan wabak itu dengan persetujuan FAT dan pemain akan menerima gaji penuh semula pada Februari ini.

Lam membuat keputusan untuk berpindah setelah mendapat tawaran dari kelab Liga J1 Jepun, Cerezo Osaka namun, beliau tidak dapat menandatangani kontrak dengan kelab J1 tersebut atas sekatan perjalanan yang dikenakan.

Sehubungan itu, FC Dynamo Moscow dari Rusia dan kelab Portugal Sporting Braga turut menunjuk minat untuk mendapatkan khidmat Lam.

Muangthong telah menandatangi kontrak dengan Lam dari Hai Phong FC dengan harga $500,000 pada tahun 2019 dan menjadi penjaga gol utama kelab itu. Tetapi kebelakangan ini, tempat itu diberi kepada penjaga gol Thailand, Samporn Yos dan Lam terus diketepikan. Muangthong juga didakwa telah memotong gaji Lam tanpa pengetahuannya.

Lam menghabiskan zaman belianya di Dynamo Moscow. Beliau mula mendapat perhatian apabila bermain bersama Hai Phong FC pada 2015 serta dipanggil untuk mewakili negara oleh jurulatih Park Hang-seo sebagai penjaga gol utama sekaligus membantu Vietnam menjulang Piala AFF 2018. – Oleh Siti Zafirah Kamal

- Advertisement -