Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menegaskan industri sukan bola sepak tidak boleh dipinggirkan dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini kerana ia turut menjadi lubuk mata pencarian pemain dan pegawai pasukan.
Jelasnya, apa yang telah berlaku dalam saingan Liga Malaysia 2020 sudah cukup menggambarkan keperitan bagaimana mereka yang bekerja dalam industri bola sepak turut sama terkena tempias terutamanya dalam aspek kewangan dan penajaan.
Justeru, beliau mengharapkan kelonggaran dapat diberikan oleh kerajaan agar saingan Liga Malaysia serta persiapan semua pasukan dapat berjalan dengan lebih lancar selain percaya mereka sudah mampu untuk mengikuti segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.
Sekiranya ia terus ditangguh lebih lama atau lebih parah, dibatalkan pada musim ini, sudah pasti mereka yang terlibat dalam sektor bola sepak ini akan berdepan kerugian besar sekali gus hilang sumber pendapatan.
“Kita sudah tengok apa yang berlaku pada musim lepas di mana saya boleh katakan ia satu perkara tidak dijangka apabila saingan liga berlangsung separuh musim sahaja dan lebih teruk, Piala Malaysia terpaksa dibatalkan.
“Tahun ini belum apa-apa lagi, pra musim sudah terkena tempias disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi saya harap dan menyeru kepada pihak-pihak yang terlibat dapat membuat keputusan yang lebih rasional agar industri bola sepak tidak dipandang ringan meskipun dalam situasi pandemik sekarang.
“Ini kerana, mereka yang berada dalam industri ini seperti barisan pemain, pegawai serta jurulatih juga sama seperti sektor-sektor lain yang turut mencari rezeki dan ini merupakan pekerjaan mereka, apatah lagi ia melibatkan banyak aspek penajaan.
“Saya harap pertimbangan yang sewajarnya dapat diberikan kepada saingan Liga Malaysia agar ia tidak lagi tertangguh dengan lebih lama dan dapat meneruskan persiapan dengan lebih baik selepas ini,” jelas bekas pengendali Kedah ini yang pernah membimbing Lang Merah sehingga lakar sejarah mencipta kejuaraan Treble pada musim 2007 dan 2008.
Dalam pada itu, bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim pula berpendapat semua pasukan perlu lebih bersedia dengan segala perubahan yang akan berlaku dan dapat berfikir lebih ke hadapan memandangkan situasi yang tidak menentu berlaku ketika ini.
Sepertimana perubahan jadual Liga Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 26 Februari ditunda ke 5 Mac, beliau berharap barisan kejurulatihan dapat mempersiapkan beberapa pelan khusus untuk pasukan teruatamanya daripada aspek latihan harian mereka.
“Saya rasa, pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan perlu berfikir selangkah ke hadapan tanpa menunggu apa-apa perubahan lagi yang dikhuatiri akan berlaku selepas ini untuk memastikan semangat pemain-pemain tidak luntur bagi melakukan persiapan.
“Mahu atau tidak, pasukan perlu menghadapi situasi ini mengikut keadaan semasa yang berlaku dan saya tahu, berlatih di rumah ini bukannya yang diinginkan oleh semua orang.
“Jadi, saya harap semua pasukan akan terus kuat untuk menangani perkara ini secara teratur sekiranya kelonggaran tidak dapat diberikan untuk mereka berlatih awal sebelum sepak mula 5 Mac, dan saya percaya dengan kelab yang lebih profesional pada musim ini, mereka akan mampu menangani situasi ini dengan lebih matang,”katanya.
Pada minggu lalu, Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 pada 5 Mac 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 4 Februari sebelum Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat pengumuman semalam PKP dilanjutkan lagi sehingga 18 Februari.