UiTM FC tetap komited ingin menjadikan latihan Pra Musim Tiga Penjuru sebagai pemanas badan kepada pasukan untuk lebih bersedia bagi menghadapi sepak mula saingan Liga Malaysia 2021 pada 5 Mac depan.
Berdasarkan jadual awal yang telah dikeluarkan, program latihan berpusat ini akan melibatkan dua lagi pasukan iaitu Perak FC dan Terengganu FC II.
UiTM FC telah menyediakan dua sesi latihan setiap hari kepada semua pasukan yang bakal mengambil bahagian yang mana turut menyaksikan tiga pasukan ini akan berdepan perlawanan persahabatan bagi merebut trofi Shah Alam City Cup.
Jelas Ketua Pegawai Operasi UiTM FC, Mustaza Ahmad, misi utama Pra Musim Tiga Penjuru adalah untuk mendedahkan pasukan kepada suasana perlawanan sebenar terutamanya dalam mencari keserasian sebagai persiapan mengharungi Liga Malaysia, musim ini.
Apa yang pasti, perlawanan persahabatan yang akan berlangsung ini semestinya akan merancakkan lagi persiapan pasukan-pasukan dalam menilai kemampuan sebenar pemain sekaligus meningkatkan lagi motivasi mereka untuk bersedia walaupun dalam tempoh masa yang singkat ini.
“Untuk makluman, seperti mana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita akhirnya diberi kebenaran untuk menjalankan Liga Malaysia, dan kita menggunakan kaedah gelembung sukan kali ini.
“Ini merupakan salah satu cara untuk kita memastikan pemain-pemain dapat mengadakan latihan berpusat dan kali ini UiTM FC dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengatur program latihan tiga penjuru ini.
“Maknanya, pasukan-pasukan yang terlibat akan berkampung di Shah alam di mana kami sudah menguruskan segalanya termasuk tempat latihan dan penginapan hotel, dan pergerakan pasukan adalah daripada hotel ke venue sahaja.
“Yang penting, pasukan kena cukup bersedia dan disebabkan itu, kali ini kita adakan program seperti ini bersesuaian dengan keadaan dan situasi semasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mustaza menjelaskan Perak FC masih belum mengesahkan lagi penyertaan namun beliau menegaskan mereka tetap bersedia dengan pelan B untuk menerima kehadiran pasukan lain bagi menyertai program tersebut.
“Saya nak beritahu di sini bahawa kita ada beberapa pilihan pasukan lain yang menyatakan hasrat untuk menyertai kejohanan ini, tetapi kami di pihak UiTM FC masih mengharapkan Perak FC akan turut serta beraksi dalam perlawanan persahabatan ini.
“Apa yang penting, kami hanya mengharapkan yang terbaik untuk saingan Pra Musim Tiga Penjuru ini dan mahu mereka bersedia tanpa berlaku sebarang kecederaan kepada pemain,” tambahnya.
UiTM FC dijadual akan menentang TFC II pada 19 Februari, manakala TFC II bakal berdepan Perak pada 21 Februari dan aksi terakhir pula akan berlangsung pada 23 Februari menemukan pasukan tuan rumah dan Perak FC.
Semua perlawanan persahabatan ini akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam dan dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.