Meskipun belum dapat memulakan latihan secara bersentuhan (contact) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), skuad hoki Projek Khas Wanita terus menyusun program untuk memastikan pemain pemain kekal di dalam keadaan yang optimum.

Ketua Penolong Jurulatih skuad Projek Khas Wanita, Lailin Abu Hassan menjelaskan latihan atas talian terutama melibatkan pemain pemain remaja memfokuskan beberapa kriteria tertentu untuk memantau tahap kecergasan fizikal dan kemahiran para pemain.

Dalam seminggu pemain pemain akan menjalani latihan di atas talian sebanyak lima kali melibatkan sesi pagi dan sesi petang.

Program latihan pemain pemain yang telah disusun oleh barisan kejurulatihan turut dibantu pihak Institut Sukan Negara (ISN)

Skuad Projek Khas Wanita membariskan 24 pemain remaja dan 6 pemain senior yang digabungkan sebagai satu keluarga dibawah seliaan Nasihin Nubli Ibrahim yang menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih.

Tiada kecederaan serius dialami pemain pemain hanya seorang sahaja pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini namun telah cergas dan telah kembali memulakan latihan.

Pengumuman kerajaan untuk membenarkan latihan hoki dijalankan serta kebenaran untuk menganjurkan saingan TNG Liga Hoki Malaysia 2021 pada awal Mac depan berkonsepkan gelembung sukan jelas menjadi perkhabaran yang baik untuk kem skuad kebangsaan.

Bagi Lailin, apa yang telah diberi sepanjang kem latihan pusat yang berlangsung sejak penghujung tahun lalu sehingga ke hari ini diharapkan dimanfaat dengan sebaiknya.

Ini kerana mereka akan terus dipantau untuk penilaian sebelum kem latihan pusat seterusnya.

Persekutuan Hoki Asia (AHF) juga memberi khabar gembira apabila saingan Piala Remaja Asia 2021 yang dijadual berlangsung pada April ditunda ke bulan Ogos.

Ia sekaligus memberi ruang yang lebih kepada barisan kejurulatihan untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih efisien.

 

- Advertisement -