Kebenaran kehadiran penonton di venue berlangsungnya acara pada Sukan Olimpik Tokyo akan dibincangkan dalam satu mesyuarat tertinggi oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersama badan penganjur secara atas talian, Rabu ini.
Menurut satu sumber, mesyuarat ini akan memberi fokus kebenaran pengunjung antarabangsa untuk hadir serta jumlah penonton yang akan dibenarkan dalam sesuatu venue Sukan Olimpik serta Sukan Paralimpik.
Dengan hanya lebih kurang lima bulan lagi sebelum pembukaan Temasya itu—yang tertangguh selama satu tahun disebabkan wabak Covid-19—masalah bagaimana menangani penonton menjadi salah satu cabaran besar buat penganjur.
Beberapa pegawai menyatakan keputusan tersebut akan diputuskan dalam dua fasa oleh pengajur. Fasa pertama, samaada akan membenarkan penonton luar negara akan diputuskan pada 25 Mac, dan fasa kedua, akan menentukan jumlah penonton yang dibernarkan dalam sesuatu venue.
Mesyuarat itu dijangka akan dihadiri oleh Presiden IOC, Thomas Bach; President Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons; Ketua Penganjur Sukan Tokyo, Seiko Hishamoto; Gabenor Tokyo, Yuriko Koike; dan Menteri Olimpik, Tamayo Marukawa.
Pada Khamis lepas, Hishamoto menyatakan beliau ingin menyelesaikan masalah ini sekitar tarikh 25 Mac, ketika larian obor dijadualkan bermula kerana keputusan yang dijadualkan oleh Bach untuk memutuskan pada April atau Mei mungkin sudah terlambat.
Mesyuarat ini juga adalah mesyuarat pertama melibatkan lima penganjur akan dihadiri Hishamoto yang dilantik menjadi Ketua Penganjur Sukan Tokyo pada 18 Februari setelah mantannya,Yoshiro Mori dipaksa meletak jawatan akibat melontar komen berbaur seksis.
Mesyuarat ini yang sepatutnya dijadualkan pada Februari ditangguh akibat komen Mori yang mencetus kemarahan seluruh dunia. – Oleh Siti Zafirah Kamal